Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Pengedar kereta Chevrolet di Brunei Darussalam, GHK Motors Sdn Bhd telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan model terbaru Chevrolet Trailblazer, esok, di Bilik Pameran Chevrolet Brunei, Bangunan Sumbangsih Bahagia, Beribi.
Pengumuman berkenaan telah dibuat oleh eksekutif-eksekutif pemasaran Chevrolet Brunei, Dayang Nadzirah binti Rahim dan Dayang Fatin binti Lutfi semasa sidang media di Bilik Pameran Chevrolet Brunei, Bangunan Sumbangsih Bahagia, Beribi, hari ini.
Mereka menjelaskan bahawa Chevrolet Trailblazer yang diperbaharui itu tampil dengan enjin diesel 2.5 Liter Duramax 4-Silinder DOHC 16 injap dan dikuasakan lagi dengan ‘Common Rail Direct Ignition System – VGT Turbocharger’ dan Multi-port Fuel Injection (MFI).
Dengan enjin berkenaan, Chevrolet Trailblazer menghasilkan 180 kuasa kuda pada 3600 rpm dan tork pada 440Nm pada 2000rpm.


Chevrolet Trailblazer juga mempunyai kapasiti tangki bahan api sebanyak 76 liter dan secara purata menggunakan bahan api sebanyak 9.8 liter bagi 100km.
Dari segi dalaman, Trailblazer mempunyai sistem kawalan jauh tanpa kunci, ‘Multimedia Projection Apple CarPlay’ dan ‘Android Auto’ bagi keselesaan pengguna menghubungkan peranti mereka dengan mudah serta pelbagai ciri lain.
Bagi keluaran di negara ini, Chevrolet Brunei akan menampilkan empat jenis warna iaitu putih, hitam metalik, coklat metalik dan juga biru metalik.
Pelancaran model tersebut akan disempurnakan oleh Pengarah Pengurusan GHK Motors, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin dan Pengerusi GHK Motors, PM Dato Shariffuddin.
Bagi maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh ke Bilik Pameran Chevrolet Brunei semasa pelancarannya esok, jam 9 pagi, sambil menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama Chevrolet Brunei.