Chew juara BBRS edisi batang duri

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Seramai 19 orang peserta dari dalam dan luar negara telah mengambil bahagian dalam Perlumbaan Memerhati Burung Bersiri Brunei (BBRS) 2019 yang berlangsung di Sumbiling Eco Village, Kampung Sumbiling Lama, Mukim Amo, Temburong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, hari ini, perlumbaan Edisi Batang Duri berkenaan merupakan perlumbaan keempat dan terakhir daripada siri perlumbaan yang menjelajah dan diadakan di keempat-empat daerah.

Perlumbaan itu diadakan selama dua hari bermula 7 hingga 8 Disember di mana para peserta dikehendaki memerhati burung-burung di seluruh kawasan Jalan Batang Duri, Hutan Simpan Perdayan dan Taman Negara Ulu Belalong.

Sehubungan dengan itu, majlis penyampaian hadiah bagi perlumbaan berkenaan diadakan di Sumbiling Eco Village, hari ini, dengan hadiah-hadiah disampaikan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Penghulu Mukim Bokok dan Pemangku Penghulu Mukim Amo, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu.

Juara disandang oleh peserta dari Kota Kinabalu, Sabah, Chew yang berjaya memerhati 42 spesies burung, tempat kedua juga dimenangi oleh peserta dari Kota Kinabalu, Eddy dan tempat ketiga dimenangi oleh peserta dari Kampong Ayer, Markim Haji Abdul Rahman.

BBRS 2019 merupakan rangkaian pertandingan memerhati burung secara bersiri, empat kali, untuk mengambil
bilangan foto spesies burung liar terbanyak menggunakan kamera, dalam kawasan dan lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti.

Perlumbaan pertama telah diadakan di kawasan Bandar Seri Begawan pada 14 April manakala perlumbaan kedua telah diadakan di Daerah Tutong bermula dari Taman Warisan Tasek Merimbun pada Ogos lalu dan Edisi Labi bermula di Pusat Biodiversiti Tropika pada Oktober lalu.

BBRS 2019 dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dengan sokongan daripada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, rakan strategik daripada sektor swasta, pihak komuniti majlis perundingan kampung setempat dan persatuan organisasi bukan kerajaan tempatan.

Chew (tengah), Eddy (kiri) dan Markim (kanan) bersama hadiah yang dimenangi dalam BBRS 2019, Edisi Batang Duri. – Gambar daripada Jabatan Kemajuan Pelancongan