Chile batal kenaikan tambang kereta api

SANTIAGO, CHILE, 20 OKT– Presiden Chile Sebastian Pinera kelmarin mengumumkan penggantungan kenaikan tambang pengangkutan awam bawah tanah yang telah mencetuskan protes di seluruh negara, kurang dari sehari selepas beliau mengisytiharkan perintah darurat di tengah bantahan dan kekacauan terhadap pengangkutan awam di ibu negara itu.

Anggota tentera telah dikerahkan untuk membuat rondaan di jalan-jalan di Santiago berikutan dengan protes kenaikan tambang pengangkutan daripada AS$1.12 kepada AS$1.16. Perkhidmatan kereta api bawah tanah telah digantung di ibu negara itu sejak lewat Jumaat.

“Saya telah mendengar keluhan penduduk mengenainya,” kata Pinera sebelum mengumumkan bahawa “kami akan menggantung kenaikan tambang.”

Tidak jelas jika pengumuman pembatalan itu akan menamatkan demonstrasi dan rusuhan.

Penunjuk perasaan oleh pelajar bermula pada Isnin ketika beratus-ratus pembantah menyerbu beberapa stesen metro di Santiago, melompat atau menyusup masuk ke stesen metro sebagai tanda protes untuk menghindari kenaikan tambang pengangkutan sebanyak empat peratus.

Sementara itu, tiga maut dalam kebakaran di sebuah pasar raya yang tercetus di ibu negara Chile awal hari ini, sebagai tanda protes yang telah mencetuskan kemarahan atas keadaan sosial dan ekonomi yang telah menggoncangkan salah satu negara Amerika yang paling stabil di Amerika Latin. Chile tidak menghasilkan minyak sendiri dan perlu mengimport bahan bakarnya.

Menurut kerajaan, mereka terpaksa menaikkan tambang memandangkan kos tenaga semakin meningkat, penurunan nilai mata wang dan penyelenggaraan negara.

Tetapi kebanyakan warga Chile kecewa dengan kenaikan tambang berkenaan. – AFP

Pemandangan udara menunjukkan sebuah stesen metro terbakar selepas demonstrasi di Santiago kelmarin. – AFP