Chile berdepan dilema Sanchez

RIO DE JANEIRO, 24 JUN – Bos Chile, Reinaldo Rueda berdepan dilema sama ada merehatkan penyerang, Alexis Sanchez (gambar bawah) atau bersaing habis-habisan bagi merebut kedudukan teratas Kumpulan C.

Sanchez bergelut dengan masalah kecederaan lamanya di buku lali ketika kemenangan 2-1 ke atas Ecuador yang menjamin juara bertahan itu tempat di suku akhir.

Jika pasukan itu berjaya mencatat kemenangan bertemu Uruguay di Stadium Marcana di Rio de Janeiro esok, mereka akan memenangi kumpulan dan akan bertemu Peru pada suku akhir.

Namun kekalahan bermakna mereka akan ke suku akhir menentang Colombia, yang juga pendahulu Kumpulan B dengan rekod kemenangan 100 peratus.

“Ini adalah perkara yang perlu diambil kira, begitu juga bagaimana keadaannya selepas sesi latihan,” kata Rueda yang berasal dari Colombia.

“Daripada apa yang saya rasakan, semua orang mahu bermain esok dan semua orang sangat komited.” Sanchez sudah mula mendapatkan prestasi terbaiknya di Brazil susulan musim suram ber-sama Manchester United. – AFP