Chile dedah kereta elektrik presiden

SANTIAGO, 8 Nov – Presiden Chile, Sebastian Pinera berkata semalam kenderaan elektrik (EVs) adalah kaedah pengangkutan masa depan, ketika beliau melancarkan armada EVs yang digunakan untuk membawa beliau dan lima menterinya.

“Masa depan pengangkutan akan menggunakan kaedah elektrik, dan ia merupakan berita baik untuk alam sekitar, tetapi ia juga berita baik untuk industri tembaga dan untuk negara kita,” kata Pinera.

Tembaga ialah eksport utama Chile dan EVs memerlukan tiga kali lebih banyak tembaga untuk dihasilkan berbanding kenderaan konvensional.

Di samping itu, menjelang tahun 2025, industri EV dijangka menggunakan hampir 40 peratus daripada litium dunia, satu lagi galian yang dimiliki oleh Chile dalam jumlah yang banyak. Sebenarnya, Chile adalah antara pengeluar litium terkenal di dunia, yang digunakan untuk menghasilkan bateri yang boleh dicas.

Model kereta elektrik penuh BMW i3 Atelier yang kini digunakan oleh presiden dan penolong tertingginya boleh mencecah kelajuan maksimum 150 kilometer sejam, dan perlu dicas semula setiap 250 kilometer secara purata.

“Ia adalah langkah simbolik yang melambangkan komitmen kerajaan untuk menjaga alam sekitar dengan menggunakan lebih banyak pengangkutan elektronik,” kata Pinera. – Xinhua

Presiden Sebastian Pinera semasa berucap di pusat data Google Chile pada 12 September lalu. Pinera semalam telahmelancarkan armada EVs dan menurut beliau, kaedah tersebut adalah pengangkutan masa depan. – Xinhua