Chile gubal undang-undang kerja dari rumah

SANTIAGO, 25 MAC – Chile pada Selasa menggubal undang-undang mengenai bekerja dari rumah, di tengah-tengah penularan wabak COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

“Projek itu bertujuan menawarkan pekerja Chile lebih banyak peluang dan kebebasan, dan akan memberi manfaat kepada semua terutama kaum wanita, belia dan warga emas,” kata Presiden Sebastian Pinera dalam satu persidangan video.

Langkah itu susulan jutaan penduduk Chile diarah duduk di rumah dalam usaha kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19.

“Hari ini, ramai yang akan bekerja dari rumah dan kini mereka akan dilindungi,” tambah Pinera.

Undang-undang itu bertujuan menjadikan kerja dari rumah sebagai satu langkah rasmi dan mewajibkan pihak syarikat menandatangani kontrak dengan kakitangan.

Pinera berkata usaha itu merupakan satu lagi langkah inovatif di Amerika Latin, dibuat mengikut piawaian Eropah yang mengiktiraf “hak pekerja untuk membatalkannya, menghormati waktu rehat dan permohonan cuti.”

Menteri Buruh Maria Jose Zaldivar berkata undang-undang itu juga  menetapkan majikan supaya memberi gaji seperti mana yang dipersetujui di peringkat awal selain membekalkan peralatan diperlukan. – Bernama

Jalan raya di bandar Santiago Chile kelihatan lenggang. Chile telah menggubal undang-undang mengenai bekerja dari rumah, di tengah-tengah penularan wabak COVID-19. – AFP