SANTIAGO, 15 MAC – Chile telah mengkuarantin lebih dari 1,300 orang penumpang yang terkandas di dua buah kapal pelayaran selepas salah seorang penumpang warga emas Britain telah diuji positif dijangkiti koronavirus, menurut Menteri Kesihatan kelmarin.
Kedua-dua buah kapal tersebut sedang menjelajahi lembah panjang Chile di Patagonia.
Lelaki yang berusia 85 tahun tersebut menunjukkan gejala virus tersebut selepas meninggalkan kapal Silver Explorer di pelabuhan di Selatan Caleta Tretel 2,400 kilometer dari Santiago.
Lelaki tersebut kemudiannya dipindahkan ke hospital di bandar Coyhaique di mana beliau disahkan positif dijangkiti virus tersebut.
“Kapal tersebut telah dikuarantin berhampiran dengan pelabuhan Castro. Lelaki warga Britain tersebut dalam keadaan baik tetapi telah diuji positif dijangkiti,” Menteri Kesihatan, Hamime Manalich memberitahu sidang media.
Manakala kapal sebuah lagi, Azmara Pursuit – yang mempunyai 650 penumpang dan hampir 400 orang anak kapal – sebelum ini memasuki perairan Chile dari Selatan Argentina di pelabuhan Ushuaia.
Manalich berkata kapal tersebut sekarang ini berada berhampiran dengan pelabuhan Chacabuco selepas pihak berkuasa tidak membenarkan kapal tersebut untuk berlabuh ke darat disebabkan disyaki membawa penumpang yang dijangkiti virus tersebut.
Kapal tersebut merupakan kapal persiaran selama 21 hari dari Buenos Aires ke Callao di Peru, berhampiran dengan Lima. – AFP