Chilwell rekrut terbaharu Chelsea

LONDON, 27 OGOS – Pemain pertahanan bek kiri England, Ben Chilwell kelmarin telah menjadi pemain berprofil tinggi ketiga yang menyertai Chelsea pada musim panas ini, meninggalkan Leicester dengan yuran perpindahan dilaporkan sekitar 50 juta pound.

Chilwell telah menandatangani perjanjian selama lima tahun di Stamford Bridge selepas perpindahan Hakim Ziyech dan Timo Werner dari Ajax dan RB Leipzig, dengan lebih banyak urus niaga dijangka akan berlaku sebelum jendela perpindahan ditutup.

Namun Chelsea dan Leicester tidak menyatakan jumlah sebenar yang dibayar untuk khidmat Chilwell, The Foxes berkata menerusi laman web mereka ia adalah ‘salah satu yuran perpindahan terbesar pernah diterima’ oleh kelab tersebut.

“Saya sangat gembira untuk menyertai Chelsea pada masa yang sangat memberangsangkan buat kelab,” kata Chilwell, 23, menerusi laman web Chelsea.

“Saya tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada skuad yang muda, dinamik diketuai oleh Frank Lampard ketika kami mencabar kejuaraan musim depan”.

Chilwell merupakan pemain kelahiran akademi Leicester, yang telah membuat 11 penampilan buat England, beraksi pertama kalinya buat The Foxes pada Oktober 2015 dan 123 penampilan bersama kelab.

“Ben meninggalkan kita dan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua orang di Leicester City dan kelab ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangannya kepada pasukan dan peminat ketika mereka tidak sabar untuk mengharungi satu lagi musim bermain bola sepak Eropah,” menurut kenyataan The Foxes.

Chelsea menempah tempat ke empat dan layak mara ke Liga Juara-Juara mengatasi Leicester pada hari terakhir musim Liga Perdana Inggeris pada Julai lalu. Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia berkata, “Kami sangat gembira dapat melengkapkan perpindahan ketiga kami ke dalam pasukan buat musim-musim akan datang.

“Ben memberikan pengelaman bermain di peringkat tinggi di Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan peringkat antarabangsa, meskipun dalam usia yang muda”. – AFP

Ben Chilwell menjadi pemain ketiga yang menyertai Chelsea pada musim panas ini dengan yuran perpindahan sekitar 50 juta pound. – AP