China ancam tindak balas ke atas AS

HONG KONG, 28 NOV – China mengancam bertindak balas ke atas Washington hari ini selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani rang undang-undang menyokong para pembantah prodemokrasi Hong Kong.

Para aktivis di bandar yang dilanda krisis itu memuji langkah tersebut, mengatakan ia akan membantu mereka meletakkan tekanan ke atas pihak berkuasa yang disokong Beijing dan mengadakan perhimpunan ‘Thanksgiving’ sebagai tanda hormat kepada Trump dan perundangan AS.

Trump menandatangani perundangan itu di bawah tekanan berat dari Kongres, di mana ia menarik sokongan dwipartisan luar biasa dan dalam kenyataan bercakap tentang ‘hormatnya’ kepada Presiden China, Xi Jinping, menyeru bagi kedua-dua belah pihak untuk ‘menyelesaikan perbezaan mereka secara persahabatan’.

Namun sebaliknya Beijing melenting dan memanggil duta AS, mengancam akan mengambil ‘tindakan tegas’ serta memberi amaran Washington untuk tidak mengimplementasikan rang undang-undang itu.

“Sifat dalam tindakan itu adalah sangat keji dan tersirat niat jahat,” kata Kementerian Luar Negeri China dalam satu kenyataan.

“China menggesa pihak AS untuk membetulkan kesilapan itu dan menukar haluannya,” tambah kementerian itu lagi.

Di Hong Kong, kerajaan menyatakan ‘rasa sesal’ selepas Trump menandatangani rang undang-undang yang memerlukan kajian semula kebebasan di Hong Kong dan menegah penjualan peralatan mengawal khalayak ramai. – AFP

Penduduk Hong Kong menyalakan lampu pada telefon bimbit mereka ketika berkumpul di daerah pusat Hong Kong pada 28 November. – AFP