Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    China arah basmi kuman mel antarabangsa

    BEIJING, 18 JAN – Perkhidmatan Pos China mengarahkan pembasmian kuman bagi penghantaran mel antarabangsa dan menggesa orang ramai mengurangkan pesanan dari luar negara, dengan pihak berkuasa mendakwa mel boleh menjadi punca penularan wabak COVID-19 baru-baru ini.

    China, negara pertama tempat virus itu mula-mula muncul pada hujung 2019, menetapkan strategi tegas sifar COVID-19 ketika ia bertarung dengan sejumlah penularan kecil, termasuk satu kes di Beijing dalam usahanya bersiap sedia menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk.

    Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pegawai China tidak menolak kemungkinan sesetengah orang mungkin dijangkiti daripada barang yang dipos dari luar negara, termasuk kes seorang wanita di Beijing yang dikatakan tidak mempunyai hubungan dengan orang lain turut dijangkiti tetapi diuji positif untuk varian yang serupa dengan yang ditemui di Amerika Utara.

    Semalam, China Post melaporkan kenyataan perkhidmatan pos yang mengarahkan pekerja melaksanakan pembasmian kuman pada pembungkus luar bagi semua mel antarabangsa ‘secepat mungkin’ dan pekerja yang mengendalikan surat dan bungkusan dari negara asing menerima dos vaksin penggalak.

    Perkhidmatan pos juga meminta orang ramai mengurangkan pembelian dan penghantaran dari negara dan wilayah yang mempunyai risiko wabak yang tinggi dan menegaskan mel domestik perlu dikendalikan di kawasan yang berbeza bagi mengelakkan pencemaran silang.

    COVID-19 disebarkan melalui zarah cecair kecil yang dihembus oleh orang yang dijangkiti. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) menyatakan risiko dijangkiti daripada permukaan tercemar – dikenali sebagai penularan fomit – adalah rendah dan kini semakin berkurangan.

    CDC berkata, wujud pengurangan 99 peratus dalam kesan virus yang ditinggalkan pada kebanyakan permukaan dalam masa tiga hari.

    Namun, China tidak mahu mengambil sebarang risiko, lebih-lebih lagi menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk bulan depan.

    Negara itu kini melaksanakan sekatan yang ketat, ujian saringan besar-besaran dan menggunakan aplikasi penjejak kesihatan mengesan kontak jangkitan sebaik saja ada kes dikesan serta mengenakan perintah berkurung bersasar selepas kes-kes varian Delta dan Omicron merebak. – AFP

    Seorang wanita memakai pelitup muka bagi berlindung daripada virus melihat bungkusan dihantar seorang lelaki di Beijing, 18 Januari. Pihak berkuasa China membasmi kuman mel antarabangsa dan kawasan terjejas COVID-19 yang dikatakan menjadi punca merebaknya varian Omicron. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...