China, Argentina jalin kerjasama hasilkan vaksin

BEIJING, 4 MEI – China dan Argentina bakal menjalinkan kerjasama untuk menghasilkan vaksin COVID-19 keluaran Kumpulan Farmaseutikal Nasional China (Sinopharm).

Persetujuan itu dicapai dalam perbincangan yang diadakan secara maya antara Duta China ke Argentina, Zou Xiaoli dengan Menteri Kesihatan Argentina, Carla Vizzotti di sini kelmarin.

Turut sama dalam perbincangan itu Penasihat Presiden Argentina, Cecilia Nicolini, Duta Argentina ke China, Sabino Vaca Narvaja serta pengurus Sinopharm dan syarikat farmaseutikal Argentina, antara lain turut berunding mengenai peningkatan sinergi dan solidariti dua hala dalam memerangi pandemik COVID-19.

Sinopharm dan syarikat farmaseutikal Argentina sepakat untuk berunding mengenai perincian teknikal supaya proses pengeluaran dapat dimulakan secepat mungkin.

Difahamkan, syarikat kedua-dua negara juga akan menyusun jadual pengeluaran bersama, termasuk pertukaran maklumat, peralatan, persiapan barang-barang guna habis dan pemeriksaan kualiti.

Dalam pada itu, Vizzotti turut memuji kerjasama kedua-dua negara itu yang sekali gus membantu memenuhi bekalan di pasaran negara dan rantau Amerika Latin serta menyifatkan ia sangat signifikan dan strategik. – Bernama

Seorang pekerja kesihatan memberikan dos vaksin Sinopharm COVID-19 kepada salah seorang penerima di sebuah kompleks sukan di Rawalpndi semalam. – AFP