BEIJING, 15 MAC – Melaksanakan konsensus yang disepakati antara pemimpin China dan Amerika Syarikat (AS) merupakan prioriti dalam hubungan dua hala kedua-dua negara, kata Anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Yang Jiechi.
Beliau yang juga Ketua Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Hubungan Luar Jawatankuasa Pusat PKC itu berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan di Rom, Itali pada Isnin.
Menurut Yang, hubungan China-AS berdasarkan tiga prinsip yang dikemukakan Presiden Xi Jinping iaitu saling menghormati, hidup bersama-sama dengan aman, dan mewujudkan situasi sama menang.
Justeru, beliau berharap AS turut menunaikan janji Presiden Joe Biden iaitu menolak Perang Dingin baharu, tidak mengubah sistem negara China, tidak menentang China melalui sekutunya, menolak ‘kemerdekaan Taiwan’ dan tidak berkonfrontasi dengan China.
Yang turut mengulangi pendirian China mengenai isu Taiwan, Xinjiang, Tibet dan Hong Kong dengan menyatakan isu-isu itu melibatkan kepentingan teras China dan merupakan hal ehwal dalaman yang tidak boleh dicampuri kuasa luar.
Kedua-dua pihak turut sepakat untuk melaksanakan konsensus antara pemimpin kedua-dua negara dengan baik, meningkatkan persefahaman, mengawal perselisihan pendapat, dan mengukuhkan kerjasama, agar hubungan China dan AS kembali ke landasan pembangunan yang sihat serta stabil.
Antara perkara lain yang turut dibincangkan Yang dan Sullivan termasuk isu kraine, nuklear Korea Utara, Iran dan Afghanistan. – Bernama