BEIJING, 8 NOV – China bersedia untuk mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) di semua peringkat, kata Naib Presiden Beijing hari ini menjelang sidang kemuncak yang akan diadakan di San Francisco antara pemimpin Xi Jinping dan Joe Biden minggu depan.
Bercakap di Forum Ekonomi Baharu Bloomberg di Singapura, Naib Presiden China, Han Zheng berkata, mesyuarat peringkat tinggi baru-baru ini antara Beijing dan Washington menghantar ‘isyarat positif’ bahawa hubungan semakin baik.
“Kami bersedia untuk mengukuhkan komunikasi dan dialog dengan AS di semua peringkat, memajukan kerjasama yang menguntungkan, mengurus perbezaan dengan betul dan bersama-sama menangani cabaran global,” kata Han.
Hubungan antara Washington dan Beijing merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan pelbagai isu termasuk kawalan eksport, hak asasi manusia dan keselamatan negara.
Tetapi kedua-dua pihak kelihatan bersedia untuk memperbaiki keadaan, dengan Washington menghantar beberapa pegawai tinggi ke Beijing tahun ini dalam usaha untuk mengukuhkan komunikasi.
Presiden AS Biden berkata, beliau akan bertemu pemimpin China, Xi, di luar sidang kemuncak di San Francisco minggu depan untuk rundingan yang ‘membina’.
Walaupun Beijing masih belum mengesahkan pertemuan itu, Han hari ini mengulangi pendapat Xi bahawa persoalan hubungan AS-China ‘membawa manusia ke masa depan.
“Dunia ini cukup besar untuk kedua-dua negara memajukan diri dan makmur bersama,” katanya. – AFP
