MANILA, 17 Mac – China dan ASEAN pada Khamis secara rasminya melancarkan Tahun Pelancongan China-ASEAN dan kedua-dua pihak berikrar mempertingkatkan kerjasama dalam bidang pelancongan, lapor agensi berita China Xinhua.
Majlis pelancaran berlangsung di Manila, Filipina dan Naib Perdana Menteri China Wang Yang turut menyampaikan ucapan.
Wang Yang dalam rangka lawatan empat hari ke Filipina.
Beliau berkata, China dan ASEAN telah bersama-sama menikmati perkembangan ekonomi pantas dan kehidupan rakyat bertambah baik, kini sudah tiba era perubahan besar dalam pelancongan.
“China dan ASEAN rakan sejiran sangat rapat. Kedua-dua pihak menjadi destinasi pelancongan yang besar dan sering dikunjungi pelawat asing,” katanya.
Menurut Timbalan Perdana Menteri China kedua-dua pihak menikmati prospek cerah dalam kerjasama pe-lancongan dan China berikar meneruskan kerjasama dengan ASEAN sebagai satu peluang meningkatkan lagi industri pelancongan.
Sementara itu, Setiausaha Pelancongan Filipina Wanda Teo berkata, hubungan dalam kalangan ASEAN juga semakin bertambah baik sejak bertahun sebelum ini dan rakyat boleh bergerak bebas.
“Hari ini kita meraikan kerjasama pelancongan antara China dan ASEAN dan berharap organisasi pelancongan mengambil peluang untuk meningkatkan hubungan kerjasama sekaligus dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan pelaburan,” katanya. – Bernama