China bahas draf larang makan haiwan liar

BEIJING, 24 FEB – Ahli Parlimen China pada hari ini membahaskan draf mengenai mengharamkan perdagangan hidupan liar dan tabiat memakan haiwan itu untuk memastikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat, di mana amalan tersebut dipercayai bertanggungjawab terhadap wabak koronavirus dalam negara, lapor agensi berita Xinhua.

Draf itu dikemukakan pada mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC).

“Ia bertujuan mengharamkan sepenuhnya amalan memakan haiwan liar dan bertindak keras terhadap perniagaan hidupan liar,” katanya.

Mengandungi lapan perkara, ia menumpukan mengenai segelintir orang yang terlalu taksub menjadikan hidupan liar sebagai makanan. Laporan menambah tindakan itu juga untuk menyediakan jaminan perundangan yang kukuh demi menjaga kesihatan awam dan keselamatan ekologi.

Pegawai kesihatan China berkata virus itu mungkin muncul dari sebuah pasar di tengah bandar Wuhan yang menjual haiwan liar sebagai makanan.

Pada akhir bulan lalu, selepas epidemik mulai meledak di seluruh negara, China mengarahkan pengharaman sementara ‘sehingga situasi epidemik berakhir.’

Koronavirus baharu telah membunuh 2,592 orang di China, menjangkiti kira-kira 77,000 setakat ini dan melumpuhkan ekonomi. Ia telah merebak ke sekurang-kurangnya dua dozen negara, menjangkiti 1,500 orang dan membunuh hampir 30. – Bernama/AFP

Gambar yang diambil pada 23 Februari menunjukkan anggota sukarelawan menyembur disinfektan di kawasan perumahan di Wuhan di tengah wilayah Hubei. – AFP