China bakal lancar misi ke Marikh

BEIJING, 25 MEI – China menyasarkan pelancaran pelan misi ke Marikh pada Julai yang akan termasuk pendaratan robot kawalan jauh di permukaan planet merah itu, kata syarikat yang bertanggungjawab ke atas projek itu.

Beijing telah melabur berbilion dolar dalam program angkasa lepas dalam usaha untuk menyaingi Amerika Syarikat dan mengesahkan statusnya sebagai kuasa besar dunia.

Misi ke Marikh adalah antara beberapa projek angkasa lepas baharu yang dilancarkan oleh China, termasuk menempatkan angkasawan China di bulan dan memiliki stesen angkasa lepas pada tahun 2022.

Beijing telah merancang misi Marikh pada tahun ini, tetapi Perbadanan Sains dan Teknologi Aeroangkasa China (CASC) telah mengesahkan ia akan diadakan pada Julai.

“Projek besar ini berjalan lancar seperti yang dirancang dan kami menyasarkan pelancaran pada Julai,” kata CASC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam. – AFP