China bakal wujud rangkaian pengangkutan bersepadu

BEIJING, 2 MAC – China akan mewujudkan rangkaian pengangkutan bersepadu negara dengan skala laluan merangkumi kira-kira 700 ribu kilometer pada 2035.

Menteri Pengangkutan China, Li Xiaopeng pada sidang akhbar semalam (Isnin) memaklumkan, rangkaian pengangkutan bersepadu itu termasuk landasan kereta api sepanjang kira-kira 200 ribu kilometer, laluan kapal  kelas tinggi sepanjang kira-kira 25 ribu kilometer dan 400 buah lapangan terbang.

Li berkata pembinaan hab pengangkutan akan diperkasakan di negara ini untuk menyempurnakan rangkaian pengangkutan yang berorientasikan antarabangsa.

Empat hab antarabangsa secara berkelompok akan dibina di kawasan Beijing-Tianjin-Provinsi Hebei, kawasan Delta Sungai Yangtze, kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macau dan Lingkaran Ekonomi Chengdu-Chongqing.

Menurut Li juga, sebanyak 20 buah bandar akan dilengkapi dengan hab pengangkutan bertaraf antarabangsa, manakala 80 bandar lagi bakal mempunyai hab pengangkutan bertaraf kebangsaan.

Langkah itu selaras dengan usaha untuk mewujudkan 100 hab pangangkutan bersepadu di China.

Dalam perkembangan lain, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sedang menguji ketahanan sistem rantaian bekalan logistik antarabangsa.

Justeru, Li menyatakan China telah mengambil pelbagai langkah termasuk meningkatkan keupayaan pengangkutan kereta api kargo China-Eropah untuk menjamin kelancaran rantaian bekalan logistik antarabangsa. – Bernama