China bantu bina jambatan impian

DHAKA – Bagi warga Bangladesh, ia merupakan impian menjadi kenyataan. Sejarah menyeberangi sungai Padma antara daerah-daerah di kawasan Bangladesh selatan dan ibu kota, Dhaka, hanya dengan menggunakan feri atau perahu akan berakhir.

Jambatan rel jalan raya serba guna yang digelar sebagai ‘Jambatan Impian Padma’ Bangladesh hampir selesai selepas pekerja mengatasi beberapa rintangan, termasuk cabaran pandemik COVID-19.

Projek jambatan serba guna Padma terletak kira-kira 40km ke barat daya Bangladesh.

Infrastruktur yang besar, dengan jambatan utama sepanjang 6.15 km, diusahakan oleh kumpulan China Railway Major Bridge Engineering Co, Ltd (MBEC). Ia merupakan projek infrastruktur terbesar dan mencabar dalam sejarah Bangladesh.

Jambatan tersebut, yang menyeberangi sungai Padma untuk menghubungkan timur laut dan barat daya Bangladesh, juga merupakan rangkaian penting yang menghubungkan ‘Trans-Asian Railway’.

Pekerja bekerja di kawasan projek pembinaan jambatan serba guna di Munshiganj, pada 12 Sept, 2021. – Xinhua
‘Jambatan Impian Padma’ hampir selesai selepas pekerja mengatasi beberapa cabaran. – Xinhua
Infrastruktur terbesar dengan jambatan utama sepanjang 6.15 km. – Xinhua
Gambar projek pembinaan jambatan serba guna Padma dari sudut atas, dirakamkan pada 18 Julai, 2021. – Xinhua

Pembangunan jambatan serba guna Padma mencapai tonggak kejayaan dengan penyelesaian kerja-kerja pemasangan papak jalan pada bulan lepas, bermakna penantian bagi jambatan tersebut bakal berakhir.

Dewan Muhammad Abdul Kader, jurutera eksekutif bagi projek tersebut dari kerajaan Bangladesh, memberitahu Xinhua bagaimana jurutera berbangsa Cina mengatasi rintangan dalam membina jambatan tersebut yang memberikan beberapa cabaran kepada mereka.

Padma adalah projek utama yang dibiayai oleh kerajaan Bangladesh, katanya, dan pembangunannya bermula semenjak Disember 2014, tambahnya.

“Dan kontraktor utama kami ialah MBEC, yang merupakan kontraktor terbaik di China,” katanya.

Pada awal Mac 2020 ketika Bangladesh dilanda pandemik COVID-19, dia berkata kerajaan China dan Bangladesh bersepakat untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan projek tersebut tidak tergendala. Oleh sebab itu, pembangunan jambatan tersebut tidak terganggu oleh penularan pandemik itu.

Pemasangan tiang ialah satu proses yang rumit di sungai Padma dan mereka menghadapi beberapa kesukaran, katanya.

Jambatan utama mempunyai 294 tiang, yang mana 262 tiang daripada 40 jeti berada di sungai utama dan 32 tiang daripada dua tiang peralihan berada di bahagian sisi.

“Daripada jumlah tersebut, 71 tiang adalah tiang yang disaluti dengan kulit, dan MBEC menggunakan tukul yang khas, teknologi tinggi dan pekerja yang berkemahiran tinggi diperlukan untuk mengatasi cabaran ini,” kata Kader.

“Cabaran lain ialah geseran arah pendulum dan pemasangan struktur besi.

Dengan 4,000 tan kren terapung ‘Tianyi’ yang diimport dimilik oleh syarikat, mereka telah mengatasi semua cabaran,” kata Kader, yang bertanggungjawab dalam semua aspek pembinaan jambatan sejak mula.

“Projek kami akan selesai pada bulan Jun 2022 dan perdana menteri, Sheikh Hasina akan merasmikan jambatan ini, yang memberikan laluan yang mudah kepada masyarakat untuk melancong dari Dhaka ke kawasan barat daya Bangladesh,” katanya.

Jambatan ini mempunyai peruntukan untuk rel, gas, sambungan elektrik dan kabel fiber optik untuk pengembangan masa depan.

Pihak berkuasa jambatan Bangladesh (BBA) ialah agensi pelaksana bagi projek tersebut.

Kekuda jambatan besi yang mempunyai dua lapis akan menyediakan lebuh raya empat lorong pada bahagian dek atas dan landasan kereta api tunggal pada bahagian dek bawah.

Xiong Shikun, pemangku pengurus projek dari MBEC, berkata mereka telah menyelesaikan semua pembinaan landasan jalan raya pada 23 ogos tahun ini, tetapi masih banyak lagi kerja yang berkaitan dengan lebuh raya pada bahagian dek atas dan landasan kereta api tunggal pada bahagian dek bawah.

“Kami tahu jambatan Padma adalah kebanggaan warga Bangladesh. Jadi syarikat MBEC dan semua jurutera serta kakitangan terus bekerja keras meskipun dilanda pandemik COVID-19,” katanya.

“Kami berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan pembinaan secepat mungkin,” katanya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat Cina dan Bangladesh.”

Untuk jalan raya, semua kerja yang tersisa dijangka dapat disiapkan pada akhir bulan Jun atau awal bulan Julai tahun depan dan seterusnya menyerahkan kepada BBA, dan ini bermakna jambatan Padma dijangka akan dibukakan kepada orang ramai pada bulan Julai, katanya.

“Jalinan persahabatan baik antara China dan Bangladesh. Saya sudah be-kerja di Bangladesh selama 10 tahun, dan saya mendapati Bangladesh ialah negara yang peramah.

“Saya gembira dapat melaksanakan lebih banyak projek di Bangladesh.”

Mohammad Nayeem Hossain, pegawai Bangladesh dari MBEC, berkata dia sangat gembira bekerjasama dengan projek kumpulan MBEC.

Selepas mengatasi beberapa kesusahan, dia berkata impian jambatan Padma hampir menjadi kenyataan.

“Saya telah bekerja dengan mereka selama enam tahun dan saya telah banyak belajar daripada mereka dan saya sangat gembira,” katanya.

“Kami bekerja seperti keluarga,” tambahnya.

Warga Cina berada di sini, jauh daripada keluarga dan mereka telah banyak bekorban untuk menjadikan impian jambatan Padma menjadi kenyataan, kata pegawai tersebut.

“Kejayaan mereka adalah kejayaan kami, dan saya secara peribadi merasa bangga dengan mereka dan kejayaan mereka dalam membina jambatan impian ini,” katanya. – Xinhua