China bantu rapatkan jurang digital di Uganda

ENTEBBE, UGANDA – Desa Bwerenga, yang terletak di tepi Tasik Victoria di Uganda tengah, merupakan salah sebuah desa terbaharu di negara Afrika Timur yang dihubungkan dengan dunia melalui televisyen satelit digital.

Desa itu, yang menerima isyarat televisyen yang buruk, adalah sebahagian daripada projek yang dijanjikan oleh China pada Forum Kerjasama China-Afrika 2015 di Johannesburg, Afrika Selatan, untuk meng-hubungkan 10,000 desa di Afrika dengan TV satelit.

Keluarga Justine Akalei di Bwerenga merupakan salah satu penerima bantuan projek yang kini dalam fasa kedua di Uganda, di mana 400 buah keluarga akan dihubungkan dengan TV satelit sebelum akhir tahun ini.

Menurut StarTimes, lebih daripada 500 buah desa dihubungkan pada fasa pertama pada tahun 2018, yang memanfaatkan lebih 500,000 orang.

“Pemasangan baharu yang sampai ke rumah saya amat bagus kerana banyak perkembangan yang kami terlepas setakat ini boleh ditonton melalui televisyen,” beritahu Akalei kepada Xinhua.

Gambar menunjukkan piring satelit StarTimes yang terpasang di bumbung salah sebuah kediaman di desa Bwerenga di Daerah Wakiso, Uganda. – Xinhua
Kanak-kanak menonton program TV dengan projektor di sebuah sekolah. – Xinhua
Beberapa kakitangan dari StarTimes China memasang peranti televisyen satelit di desa Bwerenga. – Xinhua

“Ini akan membantu saya mengetahui segala-gala yang berlaku di negara ini bahkan di daerah saya, kampung saya dan seluruh dunia. Saya akan menonton berita dan program sekolah,” katanya.

Di Bwerenga, selain sambungan ke rumah-rumah, sambungan juga telah dibuat di klinik di mana pesakit, penjaga dan pekerja kesihatan dapat mengakses maklumat melalui televisyen.

Terdapat juga pemasangan di sekolah.

Lwanga Noe Nakamatte, setiausaha desa itu mengatakan sambungan televisyen satelit yang berterusan di kawasannya akan membantu menyelesaikan masalah isyarat televisyen yang buruk. Dia mengatakan penduduk desa, terutama mereka yang tidak mampu membeli televisyen digital, tidak dapat mengakses maklumat melalui televisyen.

Nakamatte mengatakan sambungan baharu sangat berguna terutama semasa sekolah ditutup kerana wabak COVID-19 yang berterusan. Sekolah dan institusi pengajian tinggi ditutup selama berbulan-bulan, menjadikan lebih daripada 15 juta pelajar tidak bersekolah, menurut kementerian pendidikan Uganda.

“Kami mengalu-alukan sambungan ini di kampung kami. Ibu bapa yang akan mendapat sambungan akan bekerjasama dengan jiran mereka sehingga anak-anak dapat mengikuti pelajaran melalui sambungan televisyen,” kata Nakamatte.

“Ini akan membantu anak-anak tidak bersikap leka seperti dulu. Anak-anak hanya berkeliaran di kawasan desa tanpa pelajaran,” tambahnya.

Dia mengatakan sebagai anggota jawatankuasa desa, mereka akan bercakap dengan ibu bapa yang telah menerima sambungan untuk berkongsi dengan orang lain agar projek ini bermanfaat bagi semua.

“Kami hanya menerima 20 piring satelit tetapi kampungnya besar, jadi penduduk harus berkongsi. Kami akan bercakap dengan mereka yang mendapatnya untuk berkongsi dengan jiran mereka,” katanya.

Akalei berkata sambungan di rumahnya juga sangat berguna ketika kerajaan menggesa ibu bapa untuk menggalak pelajar mengikuti pelajaran melalui radio dan televisyen.

“Anak-anak saya sudah mula belajar melalui televisyen,” katanya. Henry Kasozi, ketua guru Sekolah Rendah Gateway di mana sambungan lain dibuat, mengatakan ketika sekolah masih ditutup, para guru akan menggunakan sambungan televisyen satelit untuk melakukan lebih banyak penyelidikan dan memperkayakan pekerjaan yang akan diberikan mereka kepada pelajar.

“Ini akan membantu kami mencari program-program tertentu yang dapat membantu anak-anak kami. Mungkin apabila kerajaan membuka semula sekolah, kami akan menggunakannya untuk membantu anak-anak kami melihat pembelajaran bagaimana ia dilakukan secara global untuk meningkatkan sistem pendidikan,” kata Kasozi.

“Apabila ia membabitkan pihak guru, ia adalah satu kelebihan kerana kami telah melihat bahawa kami dapat menggunakan projek ini untuk menjalan-kan penyelidikan,” tambahnya.

Yin Yiliu, pengurus pelaksanaan projek di StarTimes, mengatakan mereka dengan cepat mengesan pemasangan sepanjang wabak ini untuk memastikan orang yang berada di rumah dapat mengakses maklumat melalui televisyen.

Yin berkata untuk kawasan yang tidak mempunyai kuasa elektrik, sistem tenaga solar dipasang di tempat awam di mana orang dapat menonton sehingga 20 saluran secara percuma. – Xinhua