China beri amaran perkauman di Australia

BEIJING, 8 JUN – Beijing hari ini memberi amaran terdapat ‘banyak diskriminasi’ terhadap penduduk Cina di Australia, meningkatkan perbalahan diplomatik hanya beberapa hari selepas memberitahu warganya untuk tidak membuat perjalanan ke negara itu.

Ketegangan antara Australia dan China meningkat dalam beberapa perkara dan Beijing menunjukkan reaksi marah terhadap gesaan baru-baru ini bagi penyiasatan bebas asal dan penularan pandemik koronavirus selepas ia muncul pertama kalinya di tengah China lewat tahun lalu.

China sekali lagi meningkatkan perang mulut minggu lalu apabila memberitahu warganya untuk mengelak negara itu sama sekali atas kebimbangan keselamatan.

“Baru-baru ini, terdapat banyak diskriminasi terhadap orang Cina dan Asia di Australia,” kata jurucakap kementerian luar, Hua Chunying pada sidang media harian pada hari ini.

“Ramai orang Cina di Australia dihina dan malah dicederakan…grafiti atau kata-kata perkauman terhadap orang Cina muncul di Sydney, Melbourne, Brisbane dan bandar-bandar Australia lain,” katanya.

Sehubungan itu, kementerian kebudayaan dan pelancongan China menasihatkan rakyatnya tidak melakukan perjalanan ke Australia, meskipun ia hanya simbolik memandangkan sempadan Australia masih ditutup bagi sebarang perjalanan masuk dan keluar kerana pandemik. – AFP