China beri WHO tambahan dana AS$30 juta lagi

BEIJING, 23 APRIL – China mengumumkan hari ini negaranya akan menyalurkan derma tambahan berjumlah AS$30 juta lagi kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi membantu badan dunia terbabit menangani pandemik COVID-19, susulan pengumuman Amerika Syarikat (AS) minggu lalu mengatakan mahu membekukan dana kepada WHO.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Geng Shuang, berkata China memutuskan untuk menambah dana tunai kepada WHO, selain AS$20 juta yang disalurkan sebelum ini dan akan membantu ‘memperkuatkan sistem kesihatan di negara sedang membangun’.

Tambah beliau, sumbangan China kepada agensi di bawah naungan PBB itu adalah ‘mencerminkan sokongan dan kepercayaan China serta rakyatnya terhadap WHO.

AS selaku penyumbang terbesar kepada WHO, minggu lalu menuduh badan dunia itu melakukan kesalahan tadbir urus krisis COVID-19 dan mengaitkannya dengan China, yang didakwa bertanggungjawab terhadap penularan koronavirus itu.

Ketika Washington mengumumkan pembekuan dana, Presiden AS, Donald Trump, mendakwa WHO tidak telus dan cuba melindungi betapa seriusnya wabak yang ketika itu mula menular di Wuhan, China.

Trump berkata, dana daripada pembayar cukai AS berjumlah antara AS$400 juta dan AS$500 juta setiap tahun disalurkan kepada WHO. Manakala China sebaliknya hanya menyumbangkan sekitar AS$40 juta atau kurang daripada itu setiap tahun. – AFP