China berjaya lakar kejayaan tersendiri

BEIJING, 24 OKT – Pentadbir Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Achim Steiner berkata China berjaya melakar kecemerlangan tersendiri dalam pembangunan di samping memainkan peranan penting di PBB.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 pemulihan kerusi keanggotaan sah Republik Rakyat China di PBB.

Dalam satu wawancara eksklusif dengan Kumpulan Media China (CMG), Achim Steiner berkata China mula mengambil bahagian dalam UNDP pada 1972 dan projek kerjasama kedua-dua pihak secara rasmi bermula pada 1978.

“Kini, kerjasama UNDP dan China melibatkan sektor pertanian, perindustrian, sumber tenaga, kesihatan awam, pembasmian kemiskinan dan pemulihan ekonomi.

“China sedang berusaha untuk membangunkan industri kuasa hidrogen. Kerjasama antara China dengan institusi PBB termasuk UNDP membantu untuk menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan penggunaan teknologi baharu yang turut menyediakan lebih banyak kemungkinan untuk inovasi pasaran, penjimatan tenaga dan pengurangan pelepasan gas rumah hijau,” katanya. – Bernama