Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    China berjaya rawat pesakit otak dari Pakistan

    ISLAMABAD – Semasa menjalani rawatan penting untuk keadaan otak yang mengancam nyawa di sebuah hospital di Tianjin, utara China, seorang pelajar Pakistan memberitahu keluarganya di rumah “Saya tidak apa-apa, tolong jangan risau.”

    Berasal dari kawasan pergunungan di utara Pakistan, Ali Husnain mempunyai impian besar untuk mencapai tahap kejayaan, kepuasan dan kebahagiaan yang baharu, dan ingin berkhidmat kepada rakyatnya di Pakistan apabila mendapat biasiswa untuk pengajian daripada kerajaan China.

    Walau bagaimanapun, pada September tahun lepas semasa pengajian PhD dalam jurusan sains kawalan dan kejuruteraan di Universiti Tianjin, seluruh kehidupan Husnain dirasakan gelap-gulita apabila didiagnosis ensefalitis yang disebabkan Virus Herpes Simplex yang menyerang otak manusia dan boleh mengakibatkan kerosakan otak yang ketara atau kematian.

    “Apabila saya dipindahkan ke hospital oleh pihak pengurusan Universiti Tianjin, doktor Cina memberitahu keluarga saya, yang sentiasa berhubung dengan pihak pentadbiran hospital, saya mempunyai peluang paling tipis untuk hidup dan mereka mengeksploitasi setiap pilihan untuk menyelamatkan hidup saya,” kata pemuda berusia 28 tahun itu.

    Mujurlah, selepas menjalani pembedahan besar dan tinggal lebih sebulan di unit rawatan rapi hospital, usaha gigih doktor membuahkan hasil kerana mereka dapat menyelamatkan nyawa Husnain.

    Ali Husnain dari wilayah Gilgit-Baltistan Pakistan ketika ditemui Xinhua di Islamabad, Pakistan. – Xinhua
    Ali Muhammad, bapa kepada Ali Husnain, berkata beliau amat menghargai cara penjagaan anaknya di China. – Xinhua

    Selepas menghabiskan lebih 60 hari di hospital sementara pulih daripada penyakit itu, keluarga Husnain memutuskan untuk membawanya pulang ke Pakistan di mana dia akan dikelilingi oleh orang tersayang sambil mendapatkan rawatan yang tersisa.

    “Saya amat berterima kasih kepada kerajaan China, pentadbiran universiti dan kakitangan perubatan atas kebaikan, kasih sayang, penjagaan dan sokongan luar biasa yang mereka berikan kepada kami, mencerminkan ikatan kukuh yang belum pernah berlaku sebelum ini antara kedua-dua negara,” kata pelajar itu kepada Xinhua di Islamabad.

    Sambil melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan China dan kakitangan perubatan, Ali Muhammad, bapa kepada Ali Husnain, berkata beliau amat menghargai cara penjagaan anaknya di China.

    “China ibarat rumah kedua bagi kami. Itulah sebabnya saya menghantar anak saya ke China untuk pengajian tinggi. Pihak China juga mengupah seorang pekerja jururawat sepenuh masa untuknya bagi memastikan keselamatan dan kesihatannya sepenuhnya,” kata Muhammad kepada Xinhua.

    “Selain memberikan sokongan kewangan yang besar, mereka (pihak China) masih berhubung dengan kami dan sentiasa bertanyakan keadaan anak saya atau jika kami menghadapi sebarang masalah kewangan berhubung rawatan,” tambahnya.

    Muhammad percaya China telah menunjukkan contoh luar biasa kemanusiaan, profesionalisme dan kerjasama yang ikhlas, yang katanya akan mengukuhkan lagi persahabatan dan hubungan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara.

    Penyakit otak yang boleh membawa maut itu nampaknya tidak berkesan untuk menghancurkan impian, semangat dan cita-cita Husnain kerana dia bertekad untuk menewaskannya dan menyambung pengajiannya sekali lagi selepas pulih sepenuhnya.

    “Saya menjangkakan untuk pergi lagi dan belajar di sana (China). Saya mahu belajar daripada guru terbaik di dunia dan mahu meneruskan kerja penyelidikan saya di makmal yang canggih… Masa yang saya habiskan bersama rakan sekelas, guru dan lain-lain di China adalah yang terbaik dalam hidup saya. Saya harap saya akan berjumpa mereka semua lagi tidak lama lagi,” katanya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...