China berpotensi berkembang jadi pusat kewangan dunia

LONDON, 13 JAN – China dijangka akan terus berkembang menjadi pusat kewangan antarabangsa, kata pengasas Bridgewater Associates, Ray Dalio.

Ketika diwawancara Financial Times Britain, pengasas kepada syarikat dana lindung nilai terbesar di dunia itu berkata tahun 2020 sangat bererti bagi pasaran kewangan China.

Jelas Dalio, meskipun dilanda wabak COVID-19, ekonomi China bukan sahaja kekal berprestasi baik, malah turut menarik banyak pelaburan asing.

Menurutnya, walaupun sistem kewangan China tidak maju seperti negara Barat pada masa ini, tetapi China mempunyai pasaran modal kedua terbesar di dunia.

Berlandaskan kepada perkembangan sejarah, Dalio berkata negara dengan nilai perdagangan besar pada akhirnya akan menjadi pusat kewangan dunia serta mempunyai mata wang rizab global.

Pada masa sama, Dalio menyatakan beliau melihat China secara optimis sejak sekian lama. Katanya, faktor kejayaan pemulihan ekonomi China daripada wabak, berikutan saham dan bonnya yang turut dimasukkan dalam indeks kewangan berpengaruh pada peringkat global secara tidak langsung telah meningkatkan daya tarikan China terhadap modal asing.

Pasaran modal China bukan sahaja berkembang baik dari sudut skala, bahkan mempunyai prestasi yang sama baik, ujar Dalio. – Bernama

Gambar fail menunjukkan pemandangan pusat kewangan Beijing di China. China dijangka akan terus berkembang menjadi pusat kewangan antarabangsa. – AFP