Tuesday, August 16, 2022
27.1 C
Brunei

China bersiap sedia hadapi Omicron

-

BEIJING, 1 DIS – Reagen ujian asid nukleik (NAT) utama China berkemampuan untuk mengesan varian baharu COVID-19, Omicron, lapor Institut Kawalan dan Pencegahan Penyakit Virus Nasional (IVDC).

Pengarahnya, Xu Wenbo berkata, China sudah bersiap sedia untuk melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin khusus untuk menangani Omicron.

“Banyak penyelidikan persediaan sudah selesai, membabitkan tiga teknologi vaksin untuk mutasi baharu COVID-19 ini, antaranya vaksin virus ternyahaktif, vaksin protein dan vaksin berasaskan vektor.

“Beberapa syarikat China telah pun melancarkan perancangan peringkat awal untuk vaksin berkenaan,” kata Xu kepada media di sini, pada Selasa.

Menurut beliau, setakat 30 November, selain Hong Kong, tiada kes dikaitkan dengan varian baharu Omicron dilaporkan di wilayah lain di China.

Dalam pada itu, pakar dari Akademi Sains Perubatan China, Qian Zhaohui menyatakan, varian tersebut merebak dengan sangat pantas berdasarkan data epidemiologi terkini di Afrika Selatan.

Bagaimanapun, beliau berkata masih belum jelas sama ada Omicron akan menggantikan Delta sebagai varian dominan di dunia kerana ia memerlukan suatu tempoh sebelum diketahui perinciannya.

Sementara itu, menurut berita AFP, bandar utara China yang bersempadan dengan Rusia telah menangguhkan import balak dan arang hari ini berhubung kebimbangan jangkitan kluster baharu COVID-19, ketika negara itu mencatatkan kes domestik tertinggi dalam masa sebulan.

Pihak berkuasa kesihatan melaporkan 91 kes baharu di dalam atau sekitar Manzhouli – sebuah bandar mempunyai 231,000 penduduk di Inner Mongolia yang mengendalikan lebih 65 peratus perdagangan China-Rusia – selepas menyaksikan puluhan kes beberapa hari kebelakangan, memaksa para pemimpin mengenakan sekatan perjalanan.

Pihak berkuasa juga mengatakan rangkaian pelabuhannya akan ‘menangguhkan import barangan termasuk balak, arang, serbuk mineral, baja kimia…dan produk lain yang memerlukan pemunggahan’, bermula hari ini.

Tujuannya adalah untuk ‘memperkukuhkan pencegahan dan kawalan’ wabak di pelabuhan dan ‘menyekat penularan epidemik luar negara menerusi barangan import’, menurut makluman tersebut. – Bernama/AFP

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Iran nafi terbabit serangan Salman Rushdie

TEHRAN, 15 OGOS – Pegawai kerajaan Iran hari ini menafikan Tehran terbabit dalam serangan yang mencederakan penulis kontroversi, Salman Rushdie di Amerika Syarikat (AS)...

China lancar latihan baharu

- Advertisment -