China bersiap sedia tangani ancaman banjir terburuk

SHANGHAI, 14 JULAI – Anggota tentera di China kini sedang bersiap sedia menghadapi banjir dengan meletakkan lebih banyak beg pasir di sebuah bandar berhampiran tasik air tawar terbesar di China selepas merekodkan turunan hujan lebih lebat hampir enam dekad, melimpahi air di lembangan Sungai Yangtze.

Kawasan aliran Yangtze yang luas telah dilanda hujan lebat sejak bulan lalu, menyebabkan 141 orang maut atau hilang dan memaksa berjuta-juta pemindahan di beberapa wilayah.

Banjir di sepanjang sungai – yang ketiga terpanjang di dunia – telah menjadi bencana musim panas tahunan sejak zaman kuno, tetapi bencana tahun ini adalah sangat teruk.

Hujan lebat meningkat sejak minggu lalu, menyebabkan puluhan saluran air di lembangan Yangtze mencatatkan paras air yang tinggi, sementara lebih dari 400 telah melebihi tahap amaran, kata wakil Menteri Pengurusan Kecemasan Zheng Guoguang kelmarin.

“Sejak bulan Jun, turunan hujan rata-rata di lembah sungai Yangtze adalah yang tertinggi sejak tahun 1961,” katanya pada taklimat media di Beijing.

Pihak berkuasa telah memantau puncak banjir ketika banjir melanda Wuhan, kota metropolitan 11 juta penduduk yang telah berdepan dengan penderitaan akibat penularan wabak koronavirus yang pertama kali muncul di kota itu. Mereka mengatakan paras sungai menurun setelah puncak melepasi Wuhan kelmarin tanpa melaporkan sebarang bencana banjir di kawasan berkenaan. Kebimbangan kini tertumpu di hilir Tasik Poyang, yang mengalir ke Yangtze di wilayah Jiangxi yang dilanda hujan lebat dan merupakan tasik air tawar terbesar di dalam sempadan China.

Agensi berita Xinhua yang dikendalikan oleh kerajaan mengatakan bahawa paras air di stesen hidrologi utama di tasik itu memecahkan rekod yang ditetapkan pada tahun 1998, ketika lebih daripada 4,000 orang terbunuh dalam banjir terburuk di China dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Media negeri melaporkan bahawa lebih daripada 100,000 orang – termasuk anggota penyelamat, tentera, dan warga awam – telah berusaha untuk menangani situasi banjir. – AFP

Gambar pada 13 Julai menunjukkan tentera China ketika meletakkan beg pasir di sepanjang dataran Tasik Poyang untuk menangani limpahi air berikutan dengan turunan hujan lebat pada musim ini. – AFP