China cuba elak tarif AS

BEIJING, 11 Sept – Sejumlah besar syarikat China sedang melakukan pelbagai cara untuk mengelak tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dengan membuang label ‘Buatan China’ dan memindah pengeluaran ke negara-negara seperti Vietnam, Serbia dan Mexico.

Dua ekonomi terbesar dunia itu telah dibelenggu perbalahan perniagaan berbulan-bulan lamanya selepas Trump mengenakan duti kastam sebanyak 25 peratus ke atas AS$50 bilion barangan China pada musim panas ini, sekali gus mencetuskan tindak balas dari Beijing.

Kilang China yang menghasilkan segalanya daripada basikal kepada tayar, plastik dan tekstil sedang memindahkan kilang pemasangan ke luar negara untuk mengelak cukai kastam yang lebih tinggi ke atas eksport mereka ke AS dan tempat lain, menurut fail awam.

HI Corp, pengeluar alat ganti basikal yang disenarai di Shenzhen, menjelaskan kepada pelabur pada bulan lalu bahawa memandangkan tarif akan dikenakan kepada Beijing, jadi ia telah memutuskan untuk memindahkan pengeluaran ke Vietnam.

Kilang itu akan ‘mengurangkan dan mengelak’ kesan tarif, tulis pihak pengurusan, mendapati Trump mengenakan e-basikal pada Ogos dengan cukai sempadan baharu yang dirancang untuk basikal dan alat ganti mereka.

Botol Coca-Cola Ceri dilihat berhampiran sebuah motosikal di Beijing, kelmarin. Sejumlah besar syarikat China sedang mencari cara bagi mengelak tarif yang dikenakan oleh Presiden AS, Donald Trump dengan membuang label ‘Buatan China’. – AP

Trump mengingatkan pada minggu lalu tarif berkenaan, menyasarkan AS$200 bilion dalam import China, mungkin dilakukan ‘tidak lama lagi.’

“Adalah tidak dapat dielakkan bahawa duti baharu akan mendorong syarikat mengkaji semula rangkaian bekalan mereka di seluruh dunia, semalaman mereka akan menjadi 25 peratus kurang kompetitif berbanding sebelumnya,” kata Christopher Rogers, pakar rangkaian bekalan di firma data perniagaan Panjiva.

Rangkaian bekalan telahpun mulai berpindah keluar dari China dalam beberapa tahun ini apabila kos pekerja dan perlindungan alam sekitar yang meningkat telah menjadikannya sebagai sebuah negara yang kurang menarik.

Tarif sedang memburukkan lagi keadaan, kata pakar dan syarikat.

“Perbalahan perniagaan China-AS sedang mempercepat trend perubahan nilai rangkaian global,” kata Cui Fan, pengarah penyelidikan di Persatuan Kajian WTO China, kumpulan pemikir yang bergabung dengan kementerian perdagangan. – AFP