BEIJING, 26 Sept – China telah mendenda beberapa buah firma teknologi terbesar di negara itu kerana gagal mengeluarkan kandungan dalam online yang tidak dibenarkan di sisi undang-undang ketika pihak berkuasa memantapkan pengawasan mereka ke atas Internet.
Tiga syarikat besar sesawang yang mengendalikan perkhidmatan media sosial popular telah menerima ‘penalti maksimum’ kerana membenarkan penyiaran pornografi, bahan ganas dan jenis lain yang ditegah, menurut Pentadbiran Ruang Siber China.
Para pengguna Internet telah mengongsikan kandungan itu di forum online Baidu, Tieba, laman mikroblog, Weibo dan aplikasi Tencent, iaitu WeChat, menurut pemerhati itu.
Syarikat-syarikat itu juga gagal menyekat kandungan yang ‘menggalakkan kebencian etnik’, menurut dalam satu kenyataan semalam.
Jumlah denda tidak didedahkan. Syarikat-syarikat itu juga segera diarahkan mengeluarkan kandungan yang menyalahi undang-undang dan juga menambah langkah pengurusan platform.
Seorang jurucakap wanita Baidu memberitahu AFP syarikat itu ‘dengan aktif bekerjasama dengan kerajaan’ untuk menyingkirkan maklumat tidak baik’ dari forumnya, Tieba.
Peraturan yang berkuat kuasa sejak tahun 2000 menyatakan laman-laman sesawang bertanggung jawab memastikan kesahan sebarang maklumat yang dihantar ke platform mereka.
China telah mengetatkan pengawasan online tahun ini, dengan menggubal peraturan baru yang memerlukan syarikat-syarikat teknologi menyimpan data pengguna di dalam negara dan juga pengetatan ke atas kandungan yang dibenarkan. – AFP