China desak Kanada bebaskan Wanzhou

BEIJING, 6 Dis – China hari ini mendesak Kanada membebaskan seorang eksekutif Huawei Technologies yang diberkas dalam kes yang menambah tekanan teknologi dengan Amerika dan mengancam akan merumitkan rundingan perdagangan.

Ketua pegawai kewangan Huawei, Meng Wanzhou berdepan kemungkinan penyerahan balik ke Amerika Syarikat (AS), menurut pihak berkuasa Kanada. Surat khabar The Globe and Mail, dengan memetik sumber penguatkuasa undang-undang berkata dia dituduh cuba mengelak kawalan AS ke atas dagangan dengan Iran.

Tempoh masanya tidak sesuai ekoran pengumuman penghentian perang tarif berhubung dasar teknologi Beijing. Meng ditahan di Vancouver Sabtu lalu, pada hari Presiden Donald Trump dan Xi Jinping mengadakan pertemuan di Argentina dan mengumumkan perjanjian mereka.

Pasaran saham Asia jatuh ekoran berita itu, bimbang akan ketegangan baharu AS-China yang mengancam pertumbuhan ekonomi sejagat. Indeks-indeks pasaran di Tokyo dan Hong Kong dengan 1.9 peratus dan 2.8 peratus dan Shanghai jatuh 1.7 peratus pada waktu tengah hari. Kedutaan China di Ottawa berkata Meng tidak melanggar undang-undang AS atau Kanada dan mendesak Kanada ‘segera membetulkan kesalahan’ dan membebaskannya.

“Pihak China melahirkan tentangan dan membantah sekeras-kerasnya pencabulan serius hak asasi kemanusiaan ini,” menurut kenyataan kedutaan itu.

Huawei Technologies Ltd, pembekal sejagat terbesar peralatan rangkaian yang digunakan oleh syarikat-syarikat telefon dan internet, telah menjadi sasaran kebimbangan keselamatan AS. Washington telah memberi tekanan ke atas negara Eropah dan sekutu-sekutu lain supaya membataskan penggunaan teknologinya.

AS melihat Huawei dan pembekal-pembekal teknologi China yang lebih kecil sebagai kemungkinan medan bagi China mengintip dan sebagai pesaing komersil yang menurut pentadbiran Trump meraih manfaat dari subsidi tidak teratur dan sekatan pasaran.

Kenaikan tarif Trump tahun ini ke atas import China berpunca dari rungutan bahawa Beijing mencuri atau memberi tekanan ke atas syarikat-syarikat asing supaya menyerahkan teknologi. Tetapi para pegawai Amerika juga bimbang lebih meluas lagi tentang rancangan China bagi pembangunan industri yang diterajui oleh kerajaan yang mereka bimbang akan menghakis penerajuan perindustrian AS. – AP

Gambar yang tidak bertarikh ini menunjukkan ketua pegawai kewangan Huawei, Meng Wanzhou. China kelmarin mendesak Kanada membebaskan seorang eksekutif Huawei Technologies yang diberkas dalam kes yang menambah tekanan teknologi dengan Amerika. – AP