China diberi amaran

WASHINGTON, 10 Okt – Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Steven Mnuchin mengingatkan China hari ini supaya jangan terlibat dalam penurunan nilai mata wang kompetitif tatkala kedua-dua negara melancarkan perang perniagaan, dalam komen yang disiarkan dalam Financial Times (FT).

Terdapat beberapa faktor di sebalik kemerosotan baru-baru ini dalam yuan China, atau renminbi (RMB), termasuk isu ekonomi di China, beritahu Mnuchin kepada akhbar sebelum mesyuarat IMF, Bank Dunia dan G20 di Bali, Indonesia.

“Tatkala kami melihat pada isu perdagangan, memang tidak diragui bahawa kami mahu memastikan China tidak melakukan penurunan nilai mata wang kompetitif,” beritahu Mnuchin kepada FT.

Presiden Donald Trump berkali-kali menuduh China memanipulasi mata wangnya sendiri dengan membenarkannya menjadi lemah untuk menguasai peperangan perniagaan dengan Washington.

Yuan telah merosot selama beberapa minggu berbanding dolar AS, merosot sembilan peratus dalam tempoh enam bulan lalu, yang menjadikan barangan China lebih murah untuk diimport walaupun dengan tarif AS.

Gambar fail yang diambil pada 22 Julai 2018 menunjukkan Steven Mnuchin ketika menghadiri sidang media di Buenos Aires. – AFP

Namun dolar AS telah bertambah kukuh sebanyak 4 peratus pada tahun ini kerana kadar faedah telah meningkat.

Mnuchin berkata beliau mahu membincang mata wang sebagai sebahagian daripada rundingan perdagangan dengan Beijing.

“Kami mahu memastikan sebagai sebahagian daripada pencapaian persefahaman dalam mana-mana perniagaan, mata wang perlu membentuk sebahagian daripada persefahaman tersebut,” Mnuchin dipetik sebagai berkata oleh FT.

Mnuchin tidak mempunyai mesyuarat yang dijadual dengan pegawai China ketika berada di Bali, menurut pegawai Perbendaharaan AS.

Pegawai China dijangka mengadakan rundingan pada akhir bulan lalu di Washington untuk berusaha menyelesai perang perniagaan di antara kedua-dua negara, namun Beijing membatalkan mesyuarat selepas Trump mengenakan tarif AS$200 bilion ke atas barangan China.

Namun pegawai AS berkata mereka bersikap terbuka kepada rundingan. – AFP