China gantung tarif import produk AS

BEIJING, 21 FEB – China pada hari ini menggantung lebih banyak tarif ke atas import barangan industri Amerika Syarikat (AS) dalam respons terhadap berakhirnya perang perniagaan dengan Washington yang menjejas pertumbuhan ekonomi global.

Pasaran kewangan telah mengalu-alu pengumuman oleh kedua-dua pihak untuk mengurangkan penalti ke atas barangan negara masing-masing, walaupun mereka masih belum menyelesai konflik yang meletus pada 2018 berhubung cita-cita teknologi Beijing dan lebihan dagangan.

Barangan yang terjejas oleh penggantungan terbaharu termasuk komponen industri dan peralatan perubatan dan kilang, menurut Kementerian Kewangan. Ia tidak memberikan butir-butir mengenai nilai barangan yang terjejas tetapi berkata penalti digantung selama satu tahun, berkuat kuasa 28 Februari.

Di bawah perjanjian “Fasa 1” yang ditandatangani pada Januari, Washington bersetuju untuk membatalkan kenaikan tarif tambahan dan Beijing komited untuk membeli lebih banyak eksport perladangan Amerika. Pegawai AS berkata China juga komited untuk mengatasi aduan mengenai dasar teknologinya. Pada minggu lalu, pentadbiran Trump mengurangkan penalti ke atas beberapa import China.

Dalam pemotongan tarif sebelumnya, China meng-umumkan pada 6 Februari bahawa ia akan mengurangkan duti ke atas AS$75 bilion barangan AS sebagai sebahagian daripada perdamaian perniagaan dengan Washington. – AP