China gesa Israel ‘kawal diri’

BEIJING, 15 Mei – China menggesa bagi kawalan diri, terutamanya dari Israel, selepas 59 penduduk Palestin terkorban oleh tentera Israel semasa beberapa pertempuran dan bantahan di sepanjang sempadan Gaza yang menentang pembukaan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baitulmaqdis.

“China sangat risau mengenai sejumlah besar korban yang berpunca daripada konflik ganas di sempadan Gaza,” menurut jurucakap Kementerian Luar, Lu Kang, pada satu sidang media.

“Kami menentang keganasan ke atas orang awam. Kami mengesa kedua belah pihak, terutamanya Israel, untuk menahan diri dan mengelakkan situasi semakin tegang,” kata Lu.

Jurucakap itu mengulangi sokongan Beijing bagi penyelesaian dua negara, dengan pengisytiharan sebuah Negara Palestin berdasarkan sempadan 1967 dengan Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.

“China selalu percaya status terakhir Baitulmaqdis perlu diakhir dengan perundingan aman antara Palestin dan Israel mengikut resolusi relevan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” kata Lu.

Bantahan-bantahan baru dijangka akan berlaku hari ini ketika penduduk Palestin meraikan Nakba, atau ‘malapetaka’, memperingati lebih daripada 700,000 penduduk Palestin yang melarikan diri atau dihalau keluar semasa perang 1948 bagi penubuhan Negara Israel.

Ia hadir sehari selepas AS memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, satu tindakan yang menimbulkan kemarahan penduduk Palestin dan dikecam secara meluas. – AFP