China hentam import AS

BEIJING, 23 OGOS – China mengumumkan bahawa ia akan menghentam import Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$75 bilion dengan satu tarif baharu bermula 1 September dan 15 Disember, sebagai tindak balas atas kenaikan tarif yang dirancang Washington dalam satu perkembangan perang perdagangan yang semakin parah.

Tarif yang membebankan itu di antara lima hingga 10 peratus ke atas 5,078 barangan dari AS, kata Pejabat Suruhanjaya Tarif Perbandaran China.

Beijing juga mengumumkan bahawa ia akan mengenakan satu tarif 25 peratus ke atas auto AS dan lima peratus ke atas alat-alat auto bermula 15 Disember.

China telah menarik balik tarif membebankan ke atas kereta-kereta dan alat-alat kereta AS awal tahun ini sebagai langkah berbaik sementara rundingan perdagangan diteruskan.

Kenaikan tarif oleh AS “telah mendorong kepada perbalahan berterusan dalam ekonomi dan perdagangan China-AS, melanggar persetujuan yang dicapai oleh kedua-dua ketua negara di Argentina dan persetujuan yang dicapai di Osaka,” menurut satu kenyataan daripada Pejabat Suruhanjaya Tarif Perbandaran China.

Presiden AS, Donald Trump telah mengenakan tarif besar ke atas barangan China bernilai AS$250 bilion, dengan import bernilai AS$300 bilion lagi disasarkan dengan duti baharu dalam dua lagi pusingan, 1 September dan 15 Disember. – AFP

Gambar fail yang diambil pada 29 Jun 2019 menunjukkan Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping ketika mengadakan pertemuan di Osaka, Jepun. – AP