China, India setuju redakan ketegangan di sempadan

BEIJING, 11 SEPT – India dan China bersetuju untuk ‘mengundurkan tentera secepat mungkin’ selepas pasukan tentera terlibat dalam beberapa pertempuran di sempadan Himalaya, menurut kenyataan bersama dari kedua-dua buah negara.

Kedua-dua buah negara menuduh sesama mereka melepaskan tembakan minggu ini di sempadan yang berkonflik – memperhebatkan kebuntuan selama sebulan yang telah meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa.

Puluhan ribu tentera dari kedua-dua pihak telah dikerahkan di sempadan, yang berada di ketinggian lebih dari 4,000 meter.

Selepas perjumpaan kelmarin di antara Menteri Luar China, Wang Yi dan rakan sejawatnya dari India, Subrahmanyam Jaishankar di Moscow, sebuah kenyataan bersama dari kedua-dua pihak telah bersetuju untuk meredakan ketegangan.

“Tentera yang mengawal sempadan kedua-dua buah negara perlu meneruskan dialog, mengundurkan diri secepat mungkin, menjaga jarak yang sepatutnya dan meredakan keadaan di darat,” menurut kenyataan.

Mereka turut bersetuju untuk ‘mengelak sebarang tindakan yang mungkin meningkatkan ketegangan’.

Sepanjang perbalahan, China dan India telah mengeluarkan kenyataan yang serupa meminta untuk mengawal serta meredakan ketegangan. – AFP