China janji bantuan, sasaran boleh dicapai

BEIJING, 24 FEB – Pengawal atur menjanjikan pemotongan cukai dan bantuan lain hari ini bagi membantu syarikat-syarikat pulih daripada wabak virus di China dan melahirkan keyakinan parti pemerintah Komunis boleh mencapai sasaran pertumbuhan di sebalik kawalan antipenyakit yang menjejaskan kebanyakan ekonominya.

Pada satu sidang media, pegawai kewangan dan perancang ekonomi mengatakan mereka sedang meneliti kaedah untuk menyalurkan bantuan kepada perniagaan selepas Presiden Xi Jinping secara umumnya menjanjikan pada minggu-minggu lalu bahawa industri pertanian dan industri lain akan pulih dengan cepat.

Pengilangan dan industri-industri lain secara perlahan kembali beroperasi namun peramal mengatakan ia kemungkinan akan berlarutan sehingga pertengahan Mac sebelum pembuat auto dan syarikat-syarikat lain kembali kepada pengeluaran penuh.

Kerajaan pula menimbang ‘pengurangan cukai sasaran,’ pengurangan kadar faedah dan pembayaran kepada kawasan miskin dilanda virus, kata seorang pembantu menteri kewangan, Ou Wenhan. “Kami akan melakukan tugas baik melaksanakan pengurangan kadar faedah berskala besar dan penundaan cukai serta memastikan pelaksanaan efektif secepat mungkin,” kata Ou. Aktiviti perniagaan merudum selepas kerajaan melanjutkan cuti Tahun Baharu Cina pada Januari bagi memastikan kilang dan pejabat ditutup dan memaklumkan orang ramai supaya tidak membuat perjalanan.

Pegawai beralih kepada menghidupkan semula perniagaan namun dalam masa yang sama diarahkan mencegah jangkitan daripada merebak kepada berjuta-juta orang yang kembali bekerja.

Pada mesyuarat semalam, Xi mengatakan kawasan-kawasan yang rendah risiko penyakit boleh mengurangkan kawalan sekatan dan menjalankan semula aktiviti perniagaan manakala kawasan berisiko tinggi, menumpukan kawalan penyakit itu.

Ditanya sama ada Beijing merancang mengurangkan sasaran pertumbuhan ekonominya tahun ini, setiausaha agung agensi perancangan kabinet, Suruhanjaya Pembangunan dan Reformasi Nasional melahirkan keyakinan impak virus itu adalah sementara sahaja. – AP

Pekerja berehat berhampiran sebuah restoran dan bank yang ditutup di Wuhan, wilayah Hubei China. China hari ini menjanjikan bantuan kepada syarikat-syarikat terjejas akibat koronavirus di wilayah-wilayahnya dan yakin sasaran pertumbuhan ekonominya boleh dicapai. – AP