Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    China janji wujudkan 12 juta pekerjaan

    BEIJING, 6 MAC – Pegawai ekonomi China hari ini menyatakan keyakinan mereka mampu memenuhi sasaran pertumbuhan tahun ini sebanyak 5 peratus dengan mewujudkan 12 juta pekerjaan baharu dan menggalakkan perbelanjaan pengguna selepas berakhirnya kawalan antivirus yang mengurung jutaan orang di rumah.

    Pegawai Perancang Kabinet tidak mengumumkan butir-butir mengenai perbelanjaan atau inisiatif lain untuk memulihkan pertumbuhan yang merosot kepada 3 peratus tahun lalu, kedua paling rendah dalam beberapa dekad. Namun mereka berkata mereka merancang melaksanakan pelbagai langkah untuk memenuhi matlamat yang diumumkan semalam oleh Perdana Menteri, Li Keqiang dengan menambah pendapatan dan menggalakkan inovasi.

    Usaha untuk memulihkan ekonomi China mempunyai implikasi global selepas jualan runcit, kereta dan perumahan yang lemah menjejaskan permintaan untuk import. Negara itu merupakan pasaran eksport terbesar untuk negara jiran Asia dan sumber pendapatan penting untuk syarikat Barat.

    “Terdapat banyak alat dasar untuk kegunaan kami,” kata Naib Pengerusi Suruhanjaya Pembaharuan dan Pembangunan Negara (NDRC), Li Chunlin, pada sidang media yang diadakan semasa mesyuarat badan perundangan China.

    Laporan kerja perdana menteri semalam adalah ringkas dan tidak terperinci, mencadangkan Parti Komunis akan menunggu sehingga perdana menteri baharu dan menteri Kabinet dilantik pada bulan ini dalam penyerahan jawatan sekali dalam satu dekad untuk mengumumkan cukai, peraturan, subsidi dan perubahan lain.

    Sasaran pewujudan pekerjaan pada tahun ini adalah 12 juta, meningkat daripada matlamat 11 juta pada tahun lalu dan lebih rendah daripada 12.1 juta yang dicapai, menurut Li. – AP

    Seorang wanita mengambil bungkusan daripada penghantaran kiriman cepat di luar bangunan pejabat di Beijing kelmarin. Pegawai ekonomi China yakin mereka dapat memenuhi sasaran pertumbuhan tahun ini dengan mewujudkan 12 juta pekerjaan. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...