China: Kakitangan konsulat ditahan 15 hari

BEIJING, 21 OGOS – Seorang kakitangan yang bertugas di konsulat United Kingdom (UK) di Hong Kong ditahan polis Shenzhen dan diletakkan di bawah tahanan pentadbiran selama 15 hari, lapor agensi berita Sputnik.

Media UK baru-baru ini melaporkan pihak berkuasa China telah menahan Simon Cheng, sekembalinya dari bandar Shenzhen yang terletak di wilayah Guangdong.

“Mengikut maklumat yang kami peroleh, lelaki ini telah melanggar peraturan pentadbiran keselamatan awam China dan ditahan polis Shenzhen selama 15 hari,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang hari ini.

Menurut Geng, kakitangan itu penduduk Hong Kong, yang merupakan wilayah pentadbiran khas China, bermaksud dia adalah rakyat China dan sekali gus menjadi masalah dalaman negara itu. – Bernama