China kecam pelan WHO audit makmal sebagai ‘angkuh’

BEIJING, 22 JULAI – China hari ini berkata cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengaudit makmal bagi menyiasat asal usul COVID-19 menunjukkan ‘tindakan tidak hormat’ dan ‘angkuh terhadap sains’.

Minggu lalu, WHO berkata tahap kedua siasatan antarabangsa harus merangkumi pengauditan makmal China, di tengah peningkatan tekanan daripada Amerika Syarikat (AS) untuk menjalankan siasatan ke atas makmal bioteknologi di Wuhan.

Cadangan itu digariskan oleh Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus termasuk menjalankan audit ke atas makmal dan institusi penyelidikan relevan yang beroperasi di kawasan kes pertama dikesan pada Disember 2019 terhadap manusia yang merujuk kepada Wuhan di China.

Namun timbalan menteri kesihatan China, Zeng Yixin memberitahu wartawan pada sidang media hari ini berkata beliau sangat terkejut dengan cadangan itu yang ‘disifatkan tidak menghormati dan angkuh terhadap sains’.

Beijing menolak keras idea bahawa virus mungkin berpunca daripada kebocoran makmal dan ia semakin mendapat perhatian.

Beijing berulang kali menegaskan bahawa kebocoran itu sangat tidak mungkin berlaku berdasarkan kesimpulan yang dicapai oleh misi bersama WHO-China ke Wuhan pada Januari.

Pada masa yang sama, para pegawai China dan media kerajaan telah menekan teori lain yang virus itu mungkin terlepas daripada makmal penyelidikan tentera AS di Fort Detrick, Maryland.

Akhbar tabloid nasionalis, Global Times berkata ia telah mengumpulkan lima juta petisyen daripada para pengguna laman media sosial China untuk menyiasat makmal AS tersebut. – AFP