BEIJING, 17 MAC – Presiden China, Xi Jinping hari ini berkata negaranya akan ‘kekal’ dengan strategi sifar COVIDnya, menurut laporan TV negara, ketika negara paling padat penduduk di dunia itu bergelut dengan penularan terbesar sejak awal pandemik.
Negara di mana virus itu dikesan pada akhir 2019 berjaya mengawal penularan hasil gabungan pengawalan sempadan yang ketat, tempoh kuarantin yang lama dan perintah berkurung yang disasarkan, dan tidak melaporkan sebarang kematian berkaitan koronavirus selama lebih setahun.
Tetapi varian Omicron yang mudah berjangkit memberikan cabaran baharu kepada strategi itu, menyebabkan pihak berkuasa menutup bandar-bandar termasuk hab teknologi di bahagian selatan, Shenzhen, yang mempunyai 17.5 juta penduduk.
Negara ekonomi kedua terbesar dunia itu sebelum ini melaporkan kurang 100 kes jangkitan sehari dan dalam masa tiga minggu mencatat lebih 1,000 kes sehari bagi tempoh seminggu.
Lebih 2,400 kes dilaporkan pada hari ini, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan.
Bercakap semasa pertemuan pemimpin-pemimpin tertinggi China, Xi berkata negara itu perlu ‘terus meletakkan penduduk dan kehidupan di barisan hadapan, kekal dengan saintifik tepat dan sifar dinamik, dan cuba membendung penularan epidemik secepat mungkin,” ia memberitahu penyiar CCTV.
Beijing mesti “meningkatkan tahap pencegahan dan pengawalan yang tepat dari segi saintifik dan terus mengoptimumkan langkah pengawalan penyakit,” laporan memetik ucapan Xi.
Dia menyeru untuk “mengukuhkan beberapa kunci utama teknologi seperti vaksinasi, ujian pantas dan penyelidikan ubat-ubatan” bagi membendung virus lebih ‘tersasar’, katanya kepada CCTV.
Xi juga menggesa pengawalan virus lebih ketat di pelabuhan masuk dan menekankan keperluan untuk ‘mengawal dengan segera kluster penularan tempatan’. – AFP