China kemuka tiga cadangan selesai isu Afghanistan

BEIJING, 19 SEPT – Presiden China Xi Jinping mengemukakan tiga cadangan untuk membantu menyelesaikan isu Afghanistan antara lain, menggalakkan kestabilan peralihan situasi di Afghanistan bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan menerusi saluran politik.

Beliau turut menekankan bahawa urusan sesebuah negara perlu diputuskan oleh rakyat serta berharap negara anggota SCO dan CSTO memanfaatkan kelebihan dan pengaruh masing-masing untuk mengekalkan penyelesaian isu di Afghanistan secara politik.

“China menggesa Afghanistan tegas memerangi pertubuhan keganasan di wilayahnya dan mencegah kelompok pengganas daripada melakukan jenayah di negara lain.

“Ini merupakan tuntutan yang adil dan rasional negara jiran Afghanistan termasuk China.

“Afghanistan sepatutnya menunaikan janjinya dan mengambil tindakan antikeganasan dengan bersungguh-sungguh sehingga beransur-ansur mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa,” katanya semasa berucap secara maya pada sidang kemuncak pemimpin Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) yang diadakan 17 September lalu.

Selain itu, Xi mencadangkan dialog atau rundingan dibuat dengan Afghanistan yang dapat membantu negara itu kembali kepada masyarakat antarabangsa. Menerusi cadangannya yang ketiga pula, beliau menyeru pelbagai pihak memikul tanggungjawab memberikan bantuan kepada rakyat Afghanistan. – Bernama

Sekumpulan wanita Afghanistan berarak menuntut hak mereka di bawah pimpinan Taliban semasa demonstrasi di Kabul. Sementara itu, Xi Jinping mencadangkan dialog atau rundingan dibuat dengan Afghanistan yang dapat membantu negara itu kembali kepada masyarakat antarabangsa. – AP