BEIJING, 4 APRIL – China menghantar lebih daripada 10,000 petugas kesihatan dari seluruh negara ke Shanghai, termasuk 2,000 kakitangan perubatan tentera, ketika ia bergelut menangani penularan pantas COVID di bandar terbesar China itu.
Bandar itu menjalani ujian saringan besar-besaran ke atas 25 juta penduduknya hari ini, yang dikenakan perintah berkurung dua fasa dan memasuki minggu kedua. Meskipun banyak kilang dan firma kewangan berupaya beroperasi dengan mengasingkan pekerja mereka, kebimbangan semakin meningkat mengenai potensi impak ekonomi selepas perintah berkurung berlarutan di hab kewangan China itu yang juga pusat perkapalan dan pengilangan utama.
Varian amat mudah berjangkit BA.2 Omicron sedang menguji keupayaan China untuk mengekalkan pendekatan sifar COVIDnya, yang dihasratkan menghalang virus daripada merebak dengan mengasingkan sesiapa sahaja yang diuji positif, sama ada mereka ada simptom atau sebaliknya.
Shanghai turut mengubah dewan pameran dan kemudahan lain menjadi pusat pengasingan besar-besaran di mana orang dengan simptom ringan atau tiada simptom ditempatkan di katil-katil yang dipisahkan dengan dinding sementara.
China melaporkan lebih 13,000 kes baharu di seluruh negara dalam masa 24 jam lalu yang mana hampir 12,000 adalah tidak bergejala. Kira-kira 9,000 kes adalah dari Shanghai. Penularan besar lain ialah dari wilayah Jilin dengan kesnya melebihi 3,500. – AP