China kerah tentera tambahan di sempadan dipertikai

NEW DELHI, 3 OKT – Ketua tentera India berkata China telah mengerahkan askarnya di sempadan yang dipertikai dengan ‘jumlah yang besar’, menyamai jumlah tentera yang digerakkan oleh New Delhi dalam perkembangan yang digelarnya sebagai ‘membimbangkan’.

Ketegangan semakin meningkat di antara kedua-dua buah negara berjiran berikutan pertelingkahan berdarah di sempadan pada Jun tahun lalu di lembah sungai Galwan di wilayah Ladakh, India, berhampiran Tibet.

Kedua-dua buah negara telah mengerahkan puluhan ribu tentera tambahan di wilayah beraltitud tinggi di Himalayas selepas pertelingkahan.

Jeneral Manoj Mukund Naravane memberitahu wartawan di Ladakh semalam bahawa tentera China dapat dilihat di sempadan sepanjang 3,500 kilometer yang telah ditingkatkan dengan ‘jumlah yang besar’ dan ia menjadi ‘sesuatu yang membimbangkan’.

Naravane berkata tentera India turut dipertingkatkan di sepanjang sempadan sebagai satu tindak balas.

“Kami juga telah meletakkan senjata canggih. Kami berada di kedudukan kukuh untuk memenuhi segala kemungkinan,” akhbar Times of India memetik ucapannya.

India dan China telah mengadakan perbincangan tentera peringkat tinggi sejak pertelingkahan pada Jun dan Naravane berkata satu lagi perjumpaan dijangka diadakan minggu hadapan.

Kenyataan tersebut dibuat beberapa hari selepas jurucakap kementerian luar China, Hua Chunying mendakwa tentera India secara haram menceroboh sempadan China, tuduhan yang New Delhi katakan ‘fakta tidak berasas’. – AFP