China kritik UK tangguh perjanjian ekstradisi

LONDON, 21 JULAI – China memberi amaran mengenai akibat selepas Britain menangguhkan perjanjian ekstradisi dengan Hong Kong sebagai protes terhadap undang-undang keselamatan baharu yang kontroversi di wilayah itu.

Keputusan London mengancam hubungan Sino-British menjadi lebih tegang, beberapa hari selepas United Kingdom (UK) berjanji akan mengeluarkan semua pera-latan Huawei 5G dari rangkaiannya, dan ketika ahli politik Britain mengkritik China kerana memperlakukan kumpulan etnik minoriti.

Dalam satu kenyataan di laman web Kedutaan Besar China di Britain mengkritik penangguhan perjanjian itu dan mengatakan UK melakukan tindakan yang salah.

“China mendesak pihak UK untuk segera menghentikan campur tangan dalam urusan Hong Kong iaitu urusan dalaman China.

“UK akan menanggung akibatnya jika tetap dengan tindakannya itu,” menurut kenyataan itu.

Penangguhan perjanjian ekstradisi Britain berlaku selepas tindakan keras yang serupa terhadap China oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

Setiausaha Luar Negeri, Dominic Raab mengesahkan langkah tersebut secara meluas di Parlimen, walaupun terdapat peringatan berulang kali dari China bahawa Britain telah melakukan kesalahan dasar luar yang serius dan berdepan tindak balas.

“Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan perjanjian ekstradisi dengan segera,” katanya. – AFP