BEIJING, 1 SEPT – Undang-undang keselamatan data baharu China yang berkuat kuasa hari ini adalah usaha terbaharu bagi memperketat kawalan sektor teknologi di negara itu.
Undang-undang itu bertujuan memperketat kawalan terhadap syarikat teknologi gergasi di China dan mengenal pasti perkara yang mereka lakukan terhadap maklumat daripada ratusan juta pengguna. Ia juga dilaksanakan susulan kebimbangan terhadap keselamatan data dengan jabatan kerajaan semakin bergantung kepada perkhidmatan penyimpanan awan.
Selain itu, ia juga dilihat penting kerana ada firma teknologi China yang membuka cawangan di luar negara sekali gus meningkatkan kebimbangan pihak berkuasa terhadap data domestik yang mungkin berakhir di tangan pihak asing. Undang-undang itu menetapkan tanggungjawab untuk semua syarikat dan organisasi yang mengendalikan data.
Ia menetapkan denda sehingga 10 juta yuan untuk pelbagai kesalahan termasuk kebocoran dan gagal mengesahkan identiti pembeli atau penjual maklumat.
Skop bagi undang-undang ini turut diperluas, merangkumi data yang disimpan dan dikendalikan di dalam sempadan China serta data di luar negara yang boleh membahayakan keselamatan negara atau hak warganya. – AFP