BEIJING, 5 Mac – Perdana menteri China mengingatkan hari ini bahawa negara menghadapi satu “perjuangan sukar” tatkala beliau melancarkan pemotongan cukai untuk merangsang ekonomi lembap sementara menambah perbelanjaan tentera kepada hampir $180 bilion.
Kemelesetan dan perang perniagaan AS telah menjadi cabaran besar kepada Presiden Xi Jinping, setahun selepas menjadi pemimpin paling berpengaruh negara sejak Mao Zedong dengan pemansuhan had penggal dan mengukir namanya dalam perlembagaan.
Perdana Menteri Li Keqiang memberitahu sesi pembukaan Kongres Rakyat Nasional tahunan China bahawa kerajaan sedang menyasarkan pertumbuhan sebanyak 6.0-6.5 peratus pada tahun ini untuk ekonomi kedua terbesar dunia, mengurangkan angkanya berbanding tahun 2018.
Hampir 3,000 wakil dari seluruh negara berkumpul di bawah kawalan ketat, dengan perundangan bertujuan mempertingkat keadaan untuk pelabur asing menjadi perkara utama dalam agenda sesi dua minggu itu.
“Dalam mengejar pembangunan tahun ini, kami akan menghadapi persekitaran yang lebih serius dan lebih rumit serta risiko dan cabaran yang jauh lebih besar dari segi jumlah dan saiz,” kata Li dalam ucapan beliau.
“Kami mesti bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perjuangan sukar ini,” kata beliau.
Kerajaan telah menetapkan sasaran sebanyak kira-kira 6.5 peratus pada tahun 2018 dan akhirnya mencatat pertumbuhan rasmi sebanyak 6.6 peratus – kadar paling perlahan dalam hampir tiga dekad. Tiga perempat daripada wilayah telah pun mengurangkan sasaran pertumbuhan tahunan mereka pada tahun ini.
“Kami telah membuat penyelarasan sederhana dalam ramalan kami berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap faktor-faktor negatif dan ketidakpastian yang menjejas prestasi ekonomi,” kata Li.
Untuk memerangi pertumbuhan yang lembap, penggubal dasar berkata mereka akan mengurangkan cukai, mengurangkan bayaran dan mengemas kini birokrasi.
China akan memotong cukai syarikat dan sumbangan insurans sosial majikan yang dibayar bagi pihak pekerja kepada hampir 2 trilion yuan, kata Li.
Cukai nilai tambahan untuk pengeluar akan dikurangkan kepada 13 peratus daripada 16 peratus dan kurang satu peratus untuk industri pengangkutan dan pembinaan. – AFP

































