BEIJING, 6 FEB – China berkata hari ini ia akan mengurangkan tarif sebanyak separuh ke atas import Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$75 bilion sebagai sebahagian daripada perdamaian perniagaan dengan Washington tatkala pegawai berusaha menenangkan pasaran yang dicetuskan oleh wabak virus.
Suruhanjaya Majlis Tarif Negeri berkata pengurangan akan dilaksanakan dalam masa sebulan selepas Beijing dan Washington menandatangani satu perjanjian untuk meredakan perang perniagaan yang berpanjangan yang telah menjejas ekonomi global.
Ia juga keluar sehari selepas Donald Trump mengalu-alu hubungan di antara kuasa besar sebagai yang ‘terbaik’ dalam ucapan ‘State of Union’, dengan pemerhati berkata Beijing mungkin berminat untuk meneruskan dengan rundingan untuk mencapai perjanjian yang lebih luas.
Cukai sebanyak lima dan 10 peratus ke atas lebih 1,700 barangan, dikenakan pada September, akan dikurangkan pada 14 Februari, hari yang sama Washington dijangka mengurangkan tarif sebanyak separuh ke atas barangan China bernilai AS$120 bilion.
Produk yang terjejas termasuk makanan laut segar, ternakan dan kacang soya serta lampu tungsten untuk tujuan saintifik dan perubatan, dan beberapa pesawat udara.

Tindakan tersebut bertujuan “mempromosi pembangunan yang sihat dan stabil dalam hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS,” kata Suruhanjaya dalam satu kenyataan.
“Untuk menghapus perselisihan ekonomi dan perdagangan serta mengembang kerjasama dalam bidang berkenaan, China juga telah membuat penyelarasan relevan,” tambahnya, merujuk kepada pemotongan AS.
“Kami berharap dapat bekerjasama dengan AS untuk menghapus tarif yang meningkat.”
Suruhanjaya juga berkata ia ‘berharap kedua-dua pihak boleh mematuhi perjanjian mereka, berusaha melaksana isi kandungan yang relevan serta merangsang keyakinan pasaran.”
Bagaimanapun, tarif lain masih dikekalkan. – AFP




























