BEIJING, 7 FEB – Sebuah bandar China yang mempunyai penduduk sekitar 3.5 juta dekat sempadan dengan Vietnam telah dikenakan sekatan pergerakan hari ini selepas lebih 70 kes koronavirus dikesan di sana tiga hari yang lalu.
China, satu-satunya ekonomi besar di dunia yang masih lagi mengekalkan dasar sifar COVID-19, dalam keadaan berwaspada bagi sebarang penularan ketika ia menghoskan Olimpik Musim Sejuk Beijing.
Para pegawai tempatan di bandar Baise di selatan rantau Guangxi mengumumkan kelmarin bahawa tidak ada sesiapa yang akan dibenarkan untuk meninggalkan bandar itu, sementara penduduk di beberapa daerah akan diarahkan untuk berkurung di rumah mereka sendiri.
“Kawalan trafik di seluruh bandar itu akan diimplementasikan,” kata naib datuk bandar Gu Junyan semasa satu taklimat.
“Secara dasarnya, kenderaan dan orang tidak akan dapat memasuki atau meninggalkan bandar itu….dengan penguatkuasaan ketat, tidak ada pergerakan penduduk yang tidak penting.
“Penduduk di beberapa kejiranan di bandar-bandar kecil dan mukim di bawah kawalan Baise telah dikenakan perintah berkurung ketat, sementara yang lain tidak dibenarkan meninggalkan daerah mereka,” tambah Gu.
Baise yang terletak sekitar 100km dari sempadan Vietnam, pada Jumaat telah mengesan kes tempatan pertamanya – seorang pengunjung yang baru pulang dari cuti Tahun Baharu Cina, menurut pegawai.
Sejak pandemik, China telah mendirikan pagar kawat berduri di sepanjang sempadan selatannya untuk menghalang penghijrah haram dari Vietnam dan Myanmar masuk ke negara itu serta mengelak jangkitan COVID-19. – AFP