China lancar jelajah ke Planet Marikh

WENCHANG, CHINA, 23 JULAI – China telah melancarkan penjelajahan ke planet Marikh hari ini, perjalanan yang berbetulan sama dengan misi Amerika Syarikat (AS) ketika dua negara berkuasa itu bersaing dalam bidang aeroangkasa.

Kedua-dua negara itu mengambil kesempatan ketika planet itu berada paling hampir dengan bumi, dengan kapal angkasa AS dijangka akan berlepas pada 30 Julai ini.

Misi China dinamakan Tianwen-1 yang juga bermakna Pertanyaan Kepada Syurga, dalam puisi klasik yang bercerita mengenai kosmos.

Jurutera-jurutera dan kakitangan lain bersorak gembira di tapak pelancaran di selatan pulau Hainan ketika ia diangkat ke roket angkasa lepas terbesar China, Long March 5.

“Kami menjalankan misi jelajah Marikh pertama untuk meneroka secara aman alam semesta dan menyelongkar misterinya.

“Tujuannya adalah untuk itu. Ia bukan dilancarkan untuk bersaing dengan mana-mana negara lain,” kata Liu Tongjie, jurucakap bagi misi jelajah Marikh pertama China memberitahu para wartawan.

Misi itu termasuk pesawat orbit Marikh, peninjau dan penjelajah yang akan mendarat untuk mengkaji tanah planet itu.

Tainwen-1 seberat lima tan itu akan tiba di orbit Planet Merah pada Februari 2021 selepas tujuh bulan, 55 juta kilometer perjalanan dan menghantar pesawat penjelajah ke Marikh tiga bulan selepas itu pada Mei.

Ia lapangan yang sesak. Emiriah Arab Bersatu melancarkan pesawat peninjau pada Isnin yang akan mengorbit Marikh sebaik saja ia mencapai Planet Merah.

“Dengan pelancaran hari ini, China dalam laluannya untuk menyertai komuniti penjelajahan saintifik antarabangsa di Marikh,” kata ketua NASA, Jim Bridenstine dalam Twitter. “Selamat dalam perjalanan Tianwen-1!” – AFP

Orang ramai menyaksikan roket Long March-5, membawa pesawat orbit, peninjau dan penjelajah sebagai sebahagian misi Tianwen-1 ke Marikh, berlepas dari Pusat Pelancaran Angkasa Lepas Wenchang di wilayah Hainan selatan China pada 23 Julai. – AFP