BEIJING, 17 JUN – Beijing melakar sejarah apabila ia melancarkan kapal pengangkut pesawat generasi baharunya kelmarin.
Kapal dinamakan Type 003 itu direka dan dibina di China, ketika ia berusaha memperluaskan jangkauan dan kekuatan tentera lautnya.
Dilengkapi dengan teknologi persenjataan dan pelancar pesawat terbaharu, keupayaan kapal Type 003 dianggap menyaingi kapal pengangkut Barat, dengan Beijing menyasarkan tentera lautnya, yang sudah pun terbesar di dunia, menjadi pasukan pengangkut berbilang kapal.
Sementara itu, imej satelit yang dirakamkan oleh Planet Labs PBC kelmarin dianalisa oleh The Associated Press menunjukkan kapal pengangkut tersebut seperti berada di dok kering yang ditenggelami air sepenuhnya di Limbungan Jiangnan, dekat Shanghai, ketika ia bersedia untuk dilancarkan.
Pengangkut pertama China ialah kapal Soviet yang digunakan semula dan yang kedua juga dibina di China. Kedua-dua kapal dibina bagi menggunakan kaedah pelancaran yang dipanggil ‘lompat ski’ bagi pesawat, dengan tanjakan di hujung landasan yang pendek bagi membantu pesawat berlepas.
Type 003 menggunakan pelancaran lastik yang dianggap sebagai sistem jenis elektromagnet seperti yang diperkenalkan pada asalnya oleh Tentera Laut A.S.
Menurut seorang penganalisis yang berpangkalan di Singapura, Rahmat, sistem sedemikian mengurangkan tekanan pada pesawat berbanding sistem pelancaran lastik jenis wap yang lebih lama. Penggunaan lastik bermakna, kapal itu akan dapat melancarkan pelbagai jenis pesawat yang lebih besar, yang diperlukan oleh China agar dapat meningkatkan kekuatan tentera laut pada julat yang lebih besar. – AP