China lancar latihan tentera di Selat Taiwan

BEIJING, 18 SEPT – China berkata hari ini ia sedang menjalankan latihan tentera berhampiran Selat Taiwan, tatkala diplomat tertinggi Amerika Syarikat (AS) melawat pulau itu dalam tindakan yang telah membangkitkan kemarahan Beijing.

Hubungan di antara AS dan China mencecah tahap paling rendah dalam beberapa dekad, dengan kedua-dua pihak bertelingkah mengenai pelbagai isu perdagangan, tentera dan keselamatan serta pandemik koronavirus.

Keith Krach, setiausaha negara junior AS untuk pertumbuhan ekonomi, tenaga dan alam sekitar, mendarat di Taipei semalam untuk lawatan tiga hari, pegawai Jabatan Negara tertinggi yang melawat dalam 40 tahun.

Pada sidang akhbar hari ini, jurucakap kementerian pertahanan China berkata Beijing sedang ‘mengadakan latihan pertempuran sebenar berhampiran Selat Taiwan’ apabila ditanya bagaimana ia akan memberikan respons terhadap lawatan itu.

“Ia adalah tindakan yang sah dan wajar untuk melindungi kedaulatan dan integriti wilayah China dalam respons terhadap situasi sekarang di Selat Taiwan,” beritahu Ren Guoqiang kepada wartawan. Ren juga mengingatkan tentera China mempunyai ‘kekuatan mencukupi’ untuk menangkis sebarang ancaman luar atau cabaran dari Taiwan.

Menurut kementerian pertahanan Taipei, 18 pesawat udara China, termasuk pesawat pengebom dan pejuang, memasuki zon pengenalpastian pertahanan udara barat daya Taiwan pada hari ini dan juga melintasi garisan perantara yang memisahkan Selat Taiwan.

Hari ini, Krach bertemu dengan menteri luar Joseph Wu untuk membincang isu dua hala dan bertukar pandangan mengenai kolaborasi masa depan, menurut pihak berkuasa Taipei.

Beliau juga dijadual menyertai Presiden Tsai Ingwen untuk majlis makan malam di kediaman rasmi beliau. – AFP

Menteri Luar Taiwan Joseph Wu berswafoto bersama Setiausaha Negara Junior AS Keith Krach semasa satu mesyuarat di Taipei, Taiwan kelmarin. – AP